Lebih RM10 juta tunggakan YBGK

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi jaminan agar masalah pembiayaan kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, beliau mendapat maklumat bahawa mesyuarat Majlis Peguam mendedahkan lebih RM10 juta tunggakan tidak dibayar kepada YBGK.

- Advertisement -

“Persoalan saya yang pertama, adakah di bawah perkhidmatan yang akan diberikan di bawah Akta Pembelaan Awam itu nanti tidak akan menyebabkan satu pertindihan terhadap fungsi perkara ini dengan YBGK?

“Kedua, adakah kerajaan boleh memberikan jaminan satu peruntukan kewangan yang cukup akan disediakan untuk program apabila akta ini diwujudkan bagi memastikan tidak berulangnya masalah pembiayaan yang sering tergendala dalam membiayai YBGK sekarang ini?” soal beliau yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Menurutnya lagi, beliau mempunyai maklumat terkini dua hari lepas bahawa kaunselor mengadakan mesyuarat, dan mendapati terdapat lebih daripada RM10 juta tunggakan tidak dibayar kepada YBGK.

“Ini menyebabkan peguam-peguam kecil yang memberi sumbangan kepada rakyat, ‘mereka memberi tumpuan, membela kes-kes rakyat marhaen ini’, tetapi (peguam) tidak dapat bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika mengemukakan soalan tambahan lisan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Takiyuddin juga meminta kerajaan menyatakan cadangan menggubal Akta Pembelaan Awam bagi perkhidmatan bantuan guaman membabitkan kes jenayah, agar rakyat kurang berkemampuan mendapat akses kepada keadilan dan pembelaan sewajarnya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said yang menjawab persoalan tersebut bagaimanapun berkata, beliau tidak menerima sebarang aduan mengenai tunggakan yang diterima oleh YBGK.

Menurut Azalina, di bawah akta baharu yang dicadangkan, peguam yang dilantik untuk bertindak sebagai pembela awam akan menerima pampasan yang adil.

Mengenai sama ada YBGK akan bertindih dengan Akta Pembelaan Awam, Azalina memberitahu bahawa beliau masih belum mampu menjawab soalan itu.

“Sama ada YBGK itu dihidupkan, dimasukkan, (atau) diasingkan, saya tidak boleh jawab lagi. Itu saya (kena) tunggu kepada nasihat daripada pakar-pakar 10 universiti yang ditubuhkan oleh bahagian undang-undang,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2023

- Advertisement -