Kerja keras pendukung PAS, PN Perak buah hasil PRU15

- Advertisement -

KAMPAR: Hasil kerja keras dan komitmen tinggi jentera pilihan raya PAS dan Perikatan Nasional (PN) Perak membuahkan hasil pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

- Advertisement -

Kejayaan itu dapat dilihat gelombang perubahan yang berlaku di Perak sehingga hampir menguasai kerajaan negeri.

Pada PRU tersebut PN menguasai 26 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), manakala Pakatan Harapan (PH) pula menang 24 kerusi dan Barisan Nasional (BN – 9).

Oleh itu bagi meningkatkan lagi pengaruh, PAS Perak menganjurkan konvensyen ‘PAS Menerajui Perak Sejahtera’ di sebuah hotel di sini semalam.

Setiusaha PAS Perak Fairuz Hafiizh Othman berkata, pada PRU15 PAS memenangi 17 kerusi Dun dan empat Parlimen yang merupakan satu pencapaian besar PAS Perak.

Oleh itu katanya konvensyen terbabit diharap dapat menilai kembali prestasi kerja, kesatuan hati dan fikrah pendukung PAS bagi menempuh gelombang yang lebih mencabar.

“Setiap ahli perlu memperkasakan sifat tawaduk dengan menggandakan daya juang serta mengembelingkan tenaga di semua peringkat,” katanya pada program tersebut.

Turut hadir Naib Presiden PAS Dato’ Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, ahli-ahli Parlimen dan Adun serta pimpinan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat PAS dan ulama.

Sementara itu Razman berharap konvesnyen itu dijadikan sebagai medan bagi membaiki kelemahan untuk membina semula kekuatan bagi memenangkan Islam.

Katanya juga PAS Perak mencatat pertambahan ahli pada tahun 2022 iaitu sebanyak 3,564 orang berbanding tahun 2021 (1,685 orang).

“Ini menunjukkan kempen PAS Pilihanku di peringkat kawasan membuahkan hasil. Malah ia membuktikan golongan belia di Perak boleh menerima perjuangan PAS,” ujarnya yang juga Adun Gunung Semanggol.

Beliau juga berharap Pemuda PAS Perak aktif berperanan meningkatkan kefahaman politik Islam terutamanya dalam kalangan golongan belia.

Menurutnya pemuda PAS hendaklah mempelbagaikan program dan aktiviti membabitkan anak-anak muda tanpa mengira agama dan bangsa supaya mereka memahami perjuangan PAS. – HARAKAHDAILY 22/5/2023

- Advertisement -