Kalimah Allah: Tindakan bacul Kerajaan Madani

- Advertisement -

LAPORAN media bertarikh 15 Mei 2023 mengejutkan umat Islam negara ini apabila Kementerian Dalam Negeri menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Walhal KDN semasa pentadbiran Kerajaan PERIKATAN NASIONAL telah menunjukkan komitmen yang serius dalam isu yang melibatkan umat Islam dan keharmonian negara ini dengan memfailkan Notis Rayuan bagi mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang (DMPNP) menegaskan bahawa KDN sepatutnya meneruskan rayuan sehingga ke akhir kes supaya mahkamah dapat membuat keputusan. Bukannya menarik balik rayuan, ibarat lari ketakutan sebelum bertempur. 

Memetik kenyataan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkenaan kes penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat dalam penerbitan bahan agama Kristian:

“Tidak sedikit jerih payah yang dikerah oleh para Ashabus Samahah Mufti serta Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk berbincang, pertemuan demi pertemuan dengan NGO, dan penyusunan kertas penghujahan yang melibatkan ramai pakar dan tokoh akademik.

“Rayuan tersebut diangkat semasa saya menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ia dibuat atas dasar kesedaran akan keperluan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah, dan Solat kekal menjadi milik umat Islam di Malaysia. Setelah segalanya lengkap, saya bentangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan proses rayuan oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu melalui Kementerian Dalam Negeri dimulakan.”

Malangnya KDN di bawah pentadbiran Kerajaan Madani hari ini begitu mudah mengambil tindakan bacul hanya dengan mengemukakan nota kepada Jemaah Menteri bahawa KDN akan menarik balik rayuan. Dalam erti kata lain Jemaah Menteri yang turut terdapat di dalamnya Menteri Agama tidak dirujuk, malah masyarakat umum yang majoritinya umat Islam juga tidak mengetahui apa-apa melainkan setelah rayuan itu ditarik balik.

Sukar diterima apabila isu besar umat Islam diputuskan hanya dengan nota kepada Jemaah Menteri tanpa konsultasi dengan pemegang taruh institusi Islam. Tindakan yang bacul dan mengecewakan.

Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang mengkritik dan menzahirkan kekecewaan atas tindakan bacul ini. Sesungguhnya isu umat Islam negara ini tidak wajar diurus secara semberono seolah-olah hanya isu picisan tanpa mengambil kira perasaan umat Islam dan pandangan pemegang taruh.

SALAMIAH MOHD NOR
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang
22 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 22/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -