Covid-18: Jangka hayat penduduk Singapura menurun

- Advertisement -

SINGAPURA: Penurunan jangka hayat bagi penduduk Singapura dapat disaksikan dari 2020 hingga 2022, berpunca daripada kadar kematian yang lebih tinggi akibat pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Namun begitu, jangka hayat rakyatnya bertambah baik sepanjang dekad lalu berdasarkan laporan “Complete Life Tables for Singapore Resident 2021-2022” yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Singapura (DOS) hari ini.

Pada 2022, laporan itu menggariskan jangka hayat semasa kelahiran bagi penduduk Singapura ialah 83.0 tahun, peningkatan 0.9 tahun sepanjang dekad yang lalu, daripada 82.1 tahun pada 2012.

“Bagaimanapun, ia mencatat penurunan sebanyak 0.2 tahun daripada 83.2 tahun pada 2021.

“Berbanding dengan jangka hayat pra-Covid sebanyak 83.7 tahun pada 2019, jangka hayat semasa kelahiran menurun sebanyak 0.7 tahun.

“Begitu juga, jangka hayat pada umur 65 tahun meningkat 0.5 tahun bagi tempoh 10 tahun lalu kepada 20.7 tahun pada 2022, walaupun menurun 0.2 tahun daripada 20.9 tahun pada 2021,” menurut laporan itu.

DOS menyatakan bahawa data jangka hayat untuk 2020 hingga 2022 berdasarkan “tanggapan bahawa kadar kematian yang lebih tinggi akibat wabak itu berlaku sepanjang hayat.”

Oleh itu, DOS memaklumkan bahawa data itu kemungkinan tidak mewakili jangka hayat individu, jika kadar kematian kembali ke tahap pra-pandemik.

Laporan itu juga menunjukkan bahawa peningkatan jangka hayat sepanjang dekad yang lalu dibuat berdasarkan kategori lelaki dan wanita.

“Jangka hayat lelaki dan wanita semasa lahir masing-masing adalah 80.7 tahun dan 85.2 tahun pada 2022.

“Berbanding dengan 2012, jangka hayat lelaki dan wanita semasa lahir meningkat sebanyak 0.9 tahun sepanjang dekad yang lalu.

“Berbanding tahun sebelumnya, jangka hayat semasa kelahiran bagi lelaki pada 2022 menurun 0.1 tahun daripada 80.8 tahun pada 2021. Bagi wanita, ia menurun 0.3 tahun daripada 85.5 tahun dalam tempoh yang sama,” menurut DOS.

Trend yang sama dapat diperhatikan untuk jangka hayat lelaki dan wanita pada usia 65 tahun.

Laporan mengenai “Complete Life Tables for Singapore Resident 2021-2022” boleh didapati menerusi laman sesawang Singstat di https://www.singstat.gov.sg/publications/population/complete-life-table. – BERNAMA

- Advertisement -