Angkasawan Saudi mendarat di antara bintang

Rayyanah Barnawi (kiri) dan Ali Alqarni (kanan) bersama-sama John Shoffner (dua dari kiri) dan Peggy Whitson di dalam roket SpaceX Falcon 9 dalam Misi Axiom 2 (Ax-2) ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Ahad, 21 Mei 2023. (FOTO: Tangkapan skrin/Axiom)
- Advertisement -

RIYADH: Dua angkasawan Arab Saudi, Rayyanah Barnawi dan Ali Alqarni telah berjaya  melakukan pendaratan di antara bintang di ruangan angkasa raya melalui Misi Axiom 2 (Ax-2) ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas pelancaran kapal angkasa SpaceX Dragon di atas roket SpaceX dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida.

Kedua-duanya berada dalam Misi Ax-2, yang dilancarkan pada jam 5:37 petang Ahad (waktu EDT di Amerika Syarikat), yang menyaksikan angkasawan AS, Komander Peggy Whitson dan perintis perniagaan dan juruterbang, John Shoffner juga merupakan sebahagian daripada misi itu, lapor Arab News.

Barnawi, 33, yang merupakan wanita Arab pertama yang mencapai orbit, merupakan lulusan dari Universiti Otago, New Zealand dengan ijazah sarjana muda dalam sains bioperubatan sebelum memperoleh ijazah sarjana dalam sains bioperubatan dari Universiti Alfaisal.

- Advertisement -

Sebagai pakar makmal penyelidikan, Barnawi mempunyai lebih daripada sembilan tahun pengalaman dalam kejuruteraan semula sel stem dan tisu. 

“Kami sangat bersemangat untuk meluncur ke angkasa lepas dan membawa pencapaian bersejarah kepada negara dan umat manusia,” kata Barnawi sejurus sebelum pelancaran  misi tersebut.

Alqarni, 31, pula merupakan graduan dari Akademi Udara Raja Faisal dengan ijazah sarjana muda dalam bidang sains aeronautik selepas memperoleh diploma  sains aeronautik dari Pangkalan Tentera Udara Vance di AS.

Beliau merupakan kapten dalam Tentera Udara Diraja Saudi dengan pengalaman lebih 12 tahun sebagai juruterbang jet. 

“Kami berasa bangga dan teruja kerana ini adalah kali pertama kami pergi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS),” ujarnya. 

Kedua-dua angkasawan Saudi itu dijadualkan menjalankan 14 eksperimen sepanjang selama lapan bulan berada di ISS; yang mana 11 daripadanya adalah mengenai mikrograviti, termasuk kesan pada otak dan mata, dan tiga lagi merupakan eksperimen kesedaran pendidikan dengan penglibatan 12,000 pelajar dari seluruh Saudi.

Empat angkasawan yang kini berada di angkasa (dari kiri) Peggy Whitson, John Shoffner, Ali Alqarni dan Rayyanah Barnawi. (FOTO: Axiom)

Sebelum misi tersebut dilancarkan, kedua-dua Barnawi dan Alqarni telah menjalani latihan intensif selama sembilan bulan di Axiom Space dan SpaceX, NASA Johnson Center, ibu pejabat SpaceX di Hawthrone, California, Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun dan Agensi Angkasa Eropah.

Mereka juga telah menghabiskan 12 hari dalam keadaan ruang simulasi, belajar tentang jisim tanpa berat dan berlatih terapung, kemahiran komunikasi semasa berada di orbit, kemahiran ekspedisi dan kemungkinan kesan sampingan penerbangan angkasa lepas.

Misi mereka adalah yang pertama dalam program Penerbangan Angkasa Manusia (HSF) yang telah dilancarkan oleh Suruhanjaya Angkasa Saudi (SSC) dan akan membuka jalan untuk program yang mampan dengan menghantar angkasawan Saudi masa depan dalam misi untuk tinggal lebih lama di angkasa raya bagi menjalankan lebih banyak penyelidikan dan mengembangkan sumbangan Saudi kepada sains.

Ia adalah sejajar dengan Wawasan 2030 Saudi dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal negara itu, dengan mengembang dan mempelbagaikan sektor ekonomi dan industri.

Bidang tumpuan penyelidikan dalam program HSF akan membolehkan misi masa depan ke bulan dan planet Marikh, selain sains fizikal, kesihatan manusia, biologi, bioteknologi, biofarmasi, sains bumi, pembuatan angkasa lepas dan pembangunan teknologi.

Misi Axiom 2 (Ax-2) di atas kapal angkasa SpaceX Dragon, membawa empat anak kapal ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida, Amerika Syarikat pada 21 Mei 2023. (FOTO: REUTERS/Joe Skipper)

Peluang penyelidikan akan memupuk kerjasama antarabangsa, meningkatkan lagi peranan Saudi di peringkat antarabangsa.

Ditubuhkan kurang daripada lima tahun lalu pada Disember 2018, SSC mewakili Saudi di forum antarabangsa, bekerjasama dengan agensi kerajaan, mengawal selia aktiviti dan dasar angkasa serta mempromosikan aktiviti penyelidikan dan perindustrian yang berkaitan dengan angkasa.

Kerajaan Saudi kekal komited untuk menyokong penerokaan angkasa lepas dan meningkatkan peranan negara itu dalam ruang dan teknologi melalui program Biasiswa Penjaga Dua Masjid Suci dengan kerjasama SSC.

Program ini menawarkan pelajar Saudi peluang untuk belajar bagi memperoleh ijazah sarjana muda dan siswazah dalam bidang berkaitan angkasa di universiti antarabangsa yang paling berprestij.

Jurusan angkasa lepas teratas termasuk astronomi dan sains angkasa, kejuruteraan aeroangkasa, astrofizik, fizik dan kosmologi relativiti am, reka bentuk dan kejuruteraan kenderaan, kejuruteraan aeronautik dan astronautik, kejuruteraan angkasa lepas, undang-undang dan dasar angkasa.

Krew misi ax-2, di stesen pelancaran Falcon 9, (dari kiri ke kanan) Rayyanah Barnawi, Peggy Whitson, John Shoffner, dan Ali Alqarni. (FOTO: Twitter/saudispace)

“Peluang biasiswa untuk program berkaitan angkasa lepas adalah salah satu strategi Jawatankuasa Tertinggi bagi Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi yang dilancarkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman Al Saud untuk meningkatkan pasaran buruh dengan kader manusia,” kata Timbalan Menteri Pendidikan untuk Biasiswa, Amal Shuqair.

Minat kerajaan Saudi terhadap industri penerokaan angkasa lepas bermula pada tahun 1977, apabila kerajaan Saudi menubuhkan Pusat Sains dan Teknologi Kebangsaan Arab Saudi, yang menjalankan penyelidikan saintifik gunaan dalam beberapa bidang termasuk ruang angkasa.

Pada 17 Jun 1985, apabila putera raja yang juga bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Saudi, Sultan bin Salman Al Saud (ketika berusia 28 tahun) menjadi orang Muslim, Arab dan kerabat diraja Saudi pertama mengembara ke angkasa lepas (dengan kapal angkasa Discovery milik NASA) untuk melancarkan satelit kedua Saudi, nama pusat itu ditukar kepada Pusat Sains dan Teknologi Raja Abdulaziz. Ia kemudiannya berusaha untuk memajukan sektor dan merancang untuk pemindahan dan penyetempatan teknologi satelit.

Setahun selepas itu, negara itu telah menubuhkan Pusat Saudi untuk Penderiaan Jauh, dan ia juga menubuhkan Institut Penyelidikan Angkasa dan Penerbangan di Bandar Raya Raja Abdulaziz untuk Sains dan Teknologi pada 1997.

Sehingga kini, Saudi telah berjaya melancarkan 16 satelit Saudi dari 2000 hingga 2019, yang menyediakan teknologi komunikasi di kawasan separa terpencil.

Pelancaran satelit terakhir negara itu adalah untuk menghantar Saudi Geostationary Satellite 1, yang dibangunkan oleh pasukan dari Bandar Raya Raja Abdulaziz untuk Sains dan Teknologi.

Satelit itu menyediakan keupayaan telekomunikasi, sambungan internet yang lebih kukuh, dan TV serta komunikasi selamat di Timur Tengah, Afrika Utara dan Eropah. – HARAKAHDAILY 22/5/2023

- Advertisement -