Memperingati Hari Nakbah dan pelan ‘The Greater Israel’

- Advertisement -

TANGGAL 15 Mei 1948, hari berlakunya peristiwa hitam buat rakyat Palestin yang pastinya terpahat jelas sehingga ke hari ini. Bukan sahaja buat generasi rakyat Palestin ketika itu yang terpaksa berputih mata kerana kehilangan tanah air mereka yang dirampas zionis Yahudi tetapi turut dirasai juga oleh generasi terbaharu rakyat Palestin yang senantiasa dizalimi dan ditindas di tanah air mereka sendiri.

- Advertisement -

15 Mei 2023 yang lalu, telah masuk 75 tahun peristiwa tersebut berlaku. Hari Nakbah bukan sahaja diingati sebagai peristiwa hitam buat rakyat Palestin tetapi juga buat umat Islam di seluruh dunia sebagai tanda kasih dan sayang terhadap saudaranya yang dirompak tanah air mereka malah hingga ke hari ini hanya tinggal beberapa kerat sahaja lagi bumi yang “bernama“  Palestin sebelum terhapusnya Palestin dari muka bumi ini.

Sorotan Peristiwa Nakbah

Dari tahun 1947 hingga ke tahun 1949, daripada 1.9 juta rakyat Palestin, seramai 750,000 daripadanya telah dihalau keluar dari tanah air mereka untuk memberi laluan kepada pendatang haram Yahudi yang datang dari seluruh dunia terutamanya dari Eropah. Kebanyakan daripada rakyat Palestin tersebut telah melarikan diri ke negara-negara jiran seperti Jordan dan Syria.

Hanya 150,000 rakyat Palestin sahaja yang kekal di tanah air mereka yang kemudiannya ditukar menjadi negara haram Israel, iaitu 78 peratus daripada negara asal Palestin.

Baki 22 peratus negara asal Palestin yang terletak di bahagian timurnya diambil alih oleh Jordan dan kemudiannya dinamakan Tebing Barat. Baki warga Palestin di Tebing Barat yang tidak tinggal dalam Israel kemudiannya diberi kerakyatan Jordan.

Jun 1967, Tebing Barat telah dijajah oleh rejim Zionis Israel begitu juga dengan Semenanjung Gaza yang ketika itu berada di bawah kawalan tentera Mesir.

Menurut Biro Statistik Palestin, terkini lebih kurang 5 juta rakyat Palestin tinggal di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, manakala 1.5 juta rakyat Palestin berada di negara haram Israel. Lebih 6 juta lagi rakyat Palestin berselerakan tinggal di negara-negara jiran dan di seluruh dunia.

Palestin sebelum dijajah rejim zionis Israel

Pada tahun 1880-an, hanya terdapat 25,000 orang Yahudi yang tinggal di bumi Palestin. Majoriti komuniti Yahudi ini datangnya dari Eropah yang pada ketika itu merupakan bangsa yang paling dibenci di Eropah.

Perang Dunia Pertama menyaksikan British menguasai Palestin dan mula membawa masuk orang-orang Yahudi ke Palestin dalam jumlah yang ramai.

Meletusnya Perang Dunia Kedua menyaksikan lebih ramai orang Yahudi memasuki Palestin dan mula melaksanakan agenda mereka untuk menguasai Palestin di bawah ideologi zionisme yang sememangnya menghendaki Palestin sebagai negara untuk orang-orang yahudi.

Dengan sokongan kuat daripada British dan Amerika Syarikat ketika perang Arab-Israel pada tahun 1948, maka jatuhlah Palestin ke tangan zonis yahudi.

Maka pada 14 Mei 1948, Pengerusi Kesatuan Yahudi Sedunia iaitu David Ben-Gurion mengisytiharkan Israel sebagai “sebuah negara haram merdeka“ yang dirampas daripada rakyat Palestin.

Situasi terkini Palestin

Jangan kita lupa, ketika kita umat Islam di seluruh dunia sedang memperingati Hari Nakbah, saat ini rejim zionis Israel sedang rancak membina ribuan penempatan haram untuk pendatang haram Yahudi yang datang dari seluruh dunia.

Rejim zionis Israel baharu sahaja melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza yang telah mengakibatkan 33 warga Palestin terkorban dan ratusan lagi cedera dengan dianggarkan ribuan warga Palestin di Semenanjung Gaza hilang tempat berteduh akibat musnah dibom pesawat pejuang tentera rejim Zionis Israel.

Malah kerajaan negara haram Israel yang diterajui golongan ultra ekstrimis yahudi berhaluan kanan mengakui akan terus memporak – perandakan Palestin sehingga setiap inci bumi Palestin berada di bawah taklukan mereka.

Ketika Barat “berpura-pura“ memperjuangkan hak asasi manusia, ribuan pelarian perang Ukraine yang berbangsa yahudi turut dibawa masuk ke negara haram Israel, diberikan segala bentuk bantuan dan kemudahan di saat rakyat Palestin terus dizalimi, ditindas, dirampas haknya dan diperlakukan seperti binatang.

Namun apa yang sedang berlaku di Palestin sebenarnya adalah permulaan untuk membuka Asia Barat kepada penaklukan Israel atau lebih tepat lagi permulaan The Greater Israel. The Greater Israel mencakupi penjajahan regim Zionis Israel ke atas hampir keseluruhan Asia Barat iaitu dari Iraq, Lubnan, Palestin, Jordan, Syria, sebahagian daripada Mesir dan Arab Saudi serta sedikit daripada wilayah Turki.

Ini adalah kerana The Greater Israel adalah cita-cita asal zionisme dari kalangan oran-orang Yahudi. Jika diperhatikan tindakan berani mereka, ia sebenarnya adalah satu ‘signal’ untuk menguasai Asia Barat serta melampiaskan cit-cita The Greater Israel.

Lihat apa yang berlaku di sekeliling Asia Barat serta apa yang terjadi kepada negara-negara yang menentang rejim zionis Israel. Boleh dikatakan banyak negara-negara yang memusuhi rejim zionis Israel dari kalangan negara-negara Arab hampir kecundang dan baki negara yang lain seperti telah tunduk akibat desakan Amerika Syarikat dan Barat seperti menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel.

Iran, satu-satunya negara yang berkemampuan untuk “bertempur“ dengan rejim zionis Israel sedang berdepan dengan pelbagai tekanan baik dari sudut politik mahupun ekonomi dari seluruh dunia terutamanya Amerika Syarikat.

Rejim zionis Israel dengan bantuan Amerika Syarikat dan Barat sebenarnya sudah berjaya menjinakkan musuh-musuh mereka di Asia Barat hingga boleh dinisbahkan hampir tiada lagi hakikatnya musuh sebenar rejim zionis Israel di Asia Barat.

Namun kini harapan tersebut kian pudar setelah China dan Rusia mula melebarkan pengaruh dan kekuasaan mereka di Asia Barat dengan Amerika Syarikat dan Barat telah mula hilang cengkaman mereka. Pemulihan hubungan Arab Saudi-Iran yang diusahakan China adalah petanda awal kerapuhan pelan The Greater Israel.

Kini tumpuan terarah kepada pemulihan hubungan Turkiye dan Syria yang diusahakan Rusia yang dijangka akan berjaya direalisasikan tidak lama lagi. China dan Rusia memainkan peranan besar dalam memulihkan hubungan di kalangan negara-negara Arab yang kini tampak sudah hasil yang memberangsangkan.

Akibat daripadanya, kelihatan mula tampak angin perubahan yang ketara di Asia Barat yang mampu membawa keamanan dan kestabilan yang berpanjangan. Namun dengan tidak dijangka Sudan kembali bergolak kencang, “di sebalik tabirnya“ bertujuan menggagalkan usaha membawa kembali keamanan dan kestabilan di Asia Barat.

Puncanya, kerana jika Asia Barat terus bergolak ia akan memberi keuntungan besar kepada negara haram Israel seterusnya membuka ruang dan peluang kepada Amerika Syarikat dan Barat untuk mengukuhkan kembali pengaruh dan kekuasaannya di Asia Barat.

Oleh itu, benarlah bahawa kestabilan dan keamanan yang berkekalan di Asia Barat hanya akan muncul dari kemerdekaan dan pembebasan bumi Palestin. Dengan wujudnya sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, Asia Barat akan memasuki era baharu yang penuh dengan kemakmuran dan kejayaan.

Maka sebenarnya Hari Nakbah tahun ini bukanlah semata-mata untuk memperingati peristiwa hitam buat rakyat Palestin yang kehilangan negaranya, tetapi juga perjuangan untuk menentang pelan penjajahan besar-besaran Asia Barat oleh rejim zionis Israel dengan bantuan sekutunya untuk melaksanakan The Greater Israel.

Oleh itu Dunia Islam terutamanya di Asia Barat wajar menilai kembali peranan mereka. Adakah masih berbaloi untuk terus berseteru sesama Islam atau menjadi keutamaan untuk mempertahankan Dunia Islam? Jika masih alpa dan lalai, nescaya perancangan licik dan jahat rejim zionis Israel ini pastinya akan meranapkan Asia Barat.

Maka dengan itu, usah mudah terpedaya dengan musuh-musuh Islam terutamanya orang-orang Yahudi. Pelbagai ayat Al-Quran peringatan dari Allah SWT akan kelicikan serta kejahatan yahudi yang sememangnya berkehendakkan kehancuran umat Islam sudah dinyatakan.

Benar, memperingati Hari Nakbah adalah baik sebagai peringatan kepada kita umat Islam akan kejahatan dan kezaliman orang-orang yahudi menzalimi dan merampas tanah air rakyat Palestin.

Namun di sebaliknya jangan kita leka dan alpa bahawa ketika ini sebenarnya mereka sedang merancang sesuatu yang lebih besar tanpa pengetahuan kita umat Islam.

Jelasnya yang paling rugi ialah kita umat Islam. Kita masih berperang sesama sendiri, kita berebut kuasa dan harta dunia dengan mengorbankan umat Islam yang tidak berdosa, kita melanggar hukum-hukum Allah SWT sambil tidak mempedulikan suruhannya, kita lalai akan peringatannya dan terpesona dengan dunia dan kekuasaan yang ditawarkan musuh-musuh Islam.

Selagi mana kita umat Islam tidak bersatu-padu dan berkerjasama, selagi itulah Dunia Islam akan dipandang sinis dan hina oleh umat manusia di seluruh dunia. Kita akan ketinggalan, kehilangan malah sedikit demi sedikit terhapus dari ingatan umat manusia.

Sudah sampai masa kita bersatu padu dan berkerjasama memulihkan kembali keyakinan Dunia Islam. Sudah sampai masanya kita umat Islam bingkas bangun dari tidur yang lena, yang banyak merosakkan akidah dan keimanan umat Islam. Sudah sampai masa umat Islam kembali gemilang di muka bumi ini.

Di bulan Syawal yang mulia ini, berdoalah kita kepada Allah SWT agar membuka hati-hati pemimpin Dunia Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bersatu padu dan menghentikan persengketaan sesama sendiri.

Semoga Islam kembali gemilang di muka bumi ini dan Palestin serta warganya akan kembali mengecapi “kemerdekaan“ yang dinantikan selama ini.

Bebaskan Masjidil Aqsa, Bebaskan Palestin.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 20/5/2023

- Advertisement -