PAC cadang prosiding baharu pembinaan LCS

Mas Ermieyati Samsuddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bercadang mengadakan prosiding baharu berhubung pembinaan Kapal Littoral Combatant Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada mesyuarat kedua sidang Dewan Rakyat yang bermula 22 Mei ini.

Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, berkata cadangan prosiding berkenaan akan dimulakan sebaik Dewan Rakyat meluluskan pelantikan ahli PAC.

- Advertisement -

Menurutnya, sebaik pelantikan ahli PAC diluluskan, mesyuarat PAC pertama bagi penggal Parlimen ke-15 akan dipanggil dan agenda pertama adalah berhubung prosiding baru bagi perkembangan kemajuan pembinaan Kapal LCS.

“Saya mengambil maklum bahawa PAC Parlimen penggal ke-14 telah membentangkan Laporan Perolehan Kapal LCS pada 4 Ogos 2022.

“Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Mindef) telah membentangkan maklum balas kepada PAC Parlimen penggal ke-14 terhadap tujuh syor PAC Parlimen penggal ke-14 pada 5 Oktober 2022,” katanya dalam satu kenyaaan media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, antara syor PAC dalam laporan berkenaan, iaitu syor ketujuh yang jelas menyatakan bahawa Mindef perlu membentangkan laporan kemajuan pembinaan Kapal LCS setiap tiga bulan kepada PAC.

Sehubungan itu, katanya beliau akan mencadangkan kepada PAC bahawa setiap tiga bulan apabila laporan kemajuan dibentangkan kepada Jawatankuasa ini, PAC akan mengeluarkan satu laporan baru untuk dibentangkan kepada Parlimen.

Namun, katanya prosiding pertama akan dikenali sebagai Prosiding PAC berhubung Kemajuan Pembinaan Kapal LCS Dalam Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.

“PAC dijangka mengadakan prosiding pertama di Limbungan Kapal Boustead Naval Shipyard (BNS), iaitu syarikat pembinaan kapal LCS dan seterusnya mengadakan lawatan kerja bagi melihat sendiri kemajuan pembinaan kapal LCS,” katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, beliau dan Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi, telah mengadakan kunjungan hormat kepada semua tujuh wakil tetap PAC, iaitu Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Katanya, semua wakil tetap berkenaan bersetuju untuk terus menjalinkan kerjasama erat dengan PAC bagi memastikan ketelusan dan kewibawaan PAC terus diperkukuhkan.

“Saya turut memberikan penjelasan kepada semua wakil tetap PAC berhubung beberapa penambahbaikan yang akan dilakukan dalam PAC Parlimen penggal ke-15, terutama membabitkan Laporan Tindakan Susulan Pegawai Pengawal/Ketua Setiausaha Terhadap Syor Laporan PAC.

Selain itu, katanya pertemuan diadakan dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, pada Selasa lalu bagi mendapatkan pandangannya mengenai hala tuju serta penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh PAC. – HARAKAHDAILY 19/5/2023

- Advertisement -