Kerjasama Andalusia Travel, MAB jihad ekonomi

Khairul Firdaus (tengah), Ida Riswana (tiga dari kanan) dan Muhammad Najmi (tiga dari kiri) dalam majlis menandatangani perjanjian (MoU) di antara Andalusia Travel dengan Malaysia Airlines Berhad bagi musim umrah tahun 2023/2024 di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada 18 Mei 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerjasama Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) perlu dilihat sebagai satu jihad ekonomi dan bukannya bersifat kartel.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata demikian sebagai tanda sokongan terhadap kerjasama strategik membabitkan kedua-dua syarikat pengendali pakej ibadah haji dan umrah swasta dan MAB yang menaungi penyedia penerbangan sewa khas untuk haji dan umrah, Amal by Malaysia Airlines.

- Advertisement -

“Kerjasama sebegini adalah kejayaan yang dapat meningkatkan kepercayaan umat Islam untuk menunaikan umrah dengan selamat dan efisien tanpa sebarang (risiko) penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian majlis menandatangani perjanjian (MoU) antara Andalusia Travel dengan MAB bagi musim umrah tahun 2023 hingga 2024 di Hotel Intercontinental Hotel, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris dan Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor.

Sehubungan itu dalam sidang media pula, beliau turut menyentuh mengenai isu akta pelancongan terkini yang bersifat ketinggalan dan tidak dapat diadaptasi pada masa ini.

Pindaan Akta Pelancongan

“Akta pelancongan negara kita sekarang ini hakikatnya tidak bersesuaian pada masa ini dan ia merupakan sesuatu perkara yang perlu diambil perhatian.

“Oleh sebab itu, pihak kami turut mencadangkan bahawa akta tersebut perlu dipinda semula untuk disesuaikan dalam mana-mana industri umrah pada masa ini,” jelasnya.

Kerjasama antara Andalusia Travel dan Malaysia Airlines Berhad melalui Amal by Malaysia Airlines ini adalah bukti buat orang ramai agar yakin menunaikan ibadah umrah dan haji di Mekah dengan rasa selamat tanpa bimbang akan risiko penipuan.

Dalam pada itu, Ida Riswana memberitahu bahawa kejayaan yang dicapai Andalusia Travel bertitiktolak daripada amalan syarikat itu sendiri  yang amat menekankan elemen kejujuran dan integriti.

“Sejujurnya kami dan seluruh warga Andalusia Travel sendiri sentiasa amat menekankan kejujuran dan integriti iaitu hanya menjual pakej umrah yang benar-benar ada sahaja walau apa pun,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa kerjasama dengan MAB bagi musim umrah sejak tahun 2015 sehingga kini dapat dijadikan sebagai bukti bahawa Andalusia Travel benar-benar komited dan  boleh dipercayai seratus peratus.

“Melalui kepercayaan yang tinggi daripada MAB sendiri, ia jelas membuktikan bahawa kami (Andalusia Travel) tidak akan buat sebarang penipuan walaupun hanya sekali,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2023

- Advertisement -