Siasat punca paras air Sungai Muda turun mendadak

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) disaran menubuh jawatankuasa khas siasatan punca menyebabkan paras air di Sungai Muda turun mendadak malam Ahad lepas.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jawatankuasa khas itu boleh menyiasat secara terperinci berhubung kejadian yang berlaku tanpa sebarang amaran.

“Kira-kira jam 10 malam Syarikat Air Darul Aman (SADA) memaklumkan masalah berkenaan melalui aplikasi ‘WhatsApps group’ yang mengendalikan pintu kawalan (baraj) semasa paras air mula menurun.

“Pada jam 12 tengah malam SADA maklumkan sekali lagi, tetapi setelah jam 7 pagi baharulah pihak Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) bertindak menutup pintu berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, semalam.

Menurutnya juga NRECC sepatutnya mengambil tindakan kepada pihak yang bertanggungjawab bertugas pada waktu malam kejadian kerana difahamkan pintu baraj diselia setiap dua jam sekali.

Kata beliau kerajaan negeri menyerahkan kepada NRECC kerana ia di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

Sanusi juga berkata, tujuh daripada 14 pintu kawalan ampang jajar rosak sepenuhnya, manakala pintu baraj ke-14 pada hari kejadian (13 Mei) terbuka tanpa amaran akibat gangguan teknikal pada sistem automasi kawalan (SCADA).

“Saya difahamkan peruntukan bagi penukaran mesin baharu mengawal pintu itu iaitu sebanyak RM8.5 juta,” tambah beliau.

Sebelum ini media melaporkan kira-kira 251,800 akaun pengguna di daerah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian Baling terjejas akibat penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak berpunca daripada kerosakan pintu baraj Sungai Muda.

Bagaimanapun 126 akaun pengguna sekitar Sungai Petani mula mendapat bekalan air pada malam sehari selepas kejadian apabila air yang dilepaskan daripada Empangan Beris ke Sungai Muda mula melimpah ke baraj.

Gangguan bekalan air di kawasan terbabit berlaku bermula kira-kira jam 7.45 pagi, 14 Mei lalu apabila LRA berkenaan berhenti beroperasi. – HARAKAHDAILY 18/5/2023

- Advertisement -