AHLI Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi perlu mencermin diri sendiri sebelum menuduh PAS menumpang rumah orang lain.
Nampaknya beliau telah lupa ketika Muafakat Nasional ditubuhkan dalam tahun 2019, Umno baru sahaja mengalami kekalahan yang teruk pada Pilihan Raya Umum 2018.
Umno telah kehilangan kuasa di peringkat Pusat buat pertama kali dalam sejarah. PAS ketika itu telah dapat mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya merampas Terengganu.
Justeru PAS tidak terdesak atau kempunan untuk menjadi kerajaan. PAS ‘memungut’ Umno yang berada di dalam keadaan terdesak dan mengalami ‘trauma’.
PAS hanya mementingkan Perpaduan Ummah dan bukan jawatan-jawatan di dalam kerajaan. Apabila Muafakat Nasional ditubuhkan, Umno telah dijemput untuk bersama tetapi penyertaan Umno ini tidak menjadi kenyataan.
Hari ini walaupun Umno telah berpakat dengan Pakatan Harapan dan membentuk kerajaan namun hubungan ahli-ahli PAS dengan ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi masih baik kerana kami tahu ramai dari mereka tidak bersetuju dengan keputusan pimpinan mereka untuk membentuk pakatan tersebut dan mengutamakan Perpaduan Ummah.
Puad juga perlu sedar dengan realiti siapa yang sebenarnya menumpang kerana Umno hanya memiliki 26 kerusi Parlimen walhal Pakatan Harapan 82 kerusi.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat
18 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 18/5/2023