PRN: PN potensi tawan dua negeri PH

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) yakin dapat mempertahankan tiga negeri yang dikuasai sekarang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, potensi juga dapat dilihat untuk PN merampas satu atau dua lagi negeri yang kini berada di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Setakat ini kita fokus pertahankan tiga negeri dan merampas sekurang-kurangnya satu atau dua negeri di bawah PH sekarang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

PRN yang membabitkan enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos nanti.

Tiga negeri terbabit iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah di bawah PN, manakala Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang di bawah PH.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS tetap mempertahankan PN dan menolak untuk menjalin semula hubungan dengan DAP.

“Kita tiada perbincangan terhadap perkara itu, yang jelasnya setakat ini kita tiada hasrat untuk bersama DAP.

“Lagi pun kita tidak menyokong kerajaan campuran di peringkat persekutuan sekarang kerana ada DAP,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/5/2023

- Advertisement -