KANGAR: Sempena ulang tahun Raja Perlis yang ke-80 semalam pelbagai aktiviti diadakan yang bermula jam 7.30 pagi hingga 7 petang.
Antaranya pertandingan kenduri sepak raga tuju, sepak penalti dan ayam serama yang diadakan di Dataran Dato’ Sheikh, Padang Majis Perbandaran Kangar (MPK) dan Taman Merdeka.
Selain itu turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak di Taman Merdeka dan perlawanan persahabatan rounders di antara pejabat Menteri Besar Perlis, Ketua Jabatan Persekutuan dan Ketua Jabatan Negeri di Padang MPK.
Pada sesi petang pula diadakan pertandingan gubahan bunga, hiasan dessert, konvoi gathering motorsikal, persembahan seni bela diri dan pertunjukan alat muzik pelbagai kaum.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar (MB) Perlis, Mohd Shukri Ramli. Beliau juga menunjukkan bakat melakukan aksi sepak panalti. (Foto atas)
Turut diadakan Program Dirgahayu Run dan Ride di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra. Program anjuran Majlis Sukan Negeri dengan kerjasama kerajaan negeri itu disertai lebih 800 peserta.
Ia turut mendapat sokongan agensi kerajaan antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia.
Peserta berpakaian sukan bertemakan warna bendera Perlis bagi meraikan ulang tahun Keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid. – HARAKAHDAILY 18/5/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!