Man City mara ke final Liga Juara-Juara

Julian Alvarez meraikan jaringannya, gol keempat untuk City
- Advertisement -

Manchester City mengalahkan penyandang juara, Real Madrid 4-0 di Stadium Etihad dan mara dengan aggregat 5-1 ke final Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam tiga musim.

Dua gol Bernardo Silva pada babak pertama meletakkan City menguasai perlawanan menentang juara Eropah 14 kali itu, manakala gol sendiri oleh Eder Militao selepas rehat dan gol keempat Julian Alvarez membolehkan pasukan Pep Guardiola membalas dendam kekalahan pahit di peringkat separuh akhir tahun lalu.

- Advertisement -

Kemungkinan besar bakal berdepan Inter Milan di final, City akan menjadi pilihan utama untuk akhirnya menyampaikan piala yang diidamkan Sheikh Mansour dari Abu Dhabi yang membeli kelab itu pada 2008, selepas City tewas kepada Chelsea dua tahun lalu.

City kini tidak tewas dalam 26 perlawanan di tempat sendiri dalam pertandingan itu dan rekod itu tidak tercalar apabila pemain tengah Portugal, Silva merembat melepasi Thibaut Courtois pada minit ke-23 dan kemudian menanduk masuk gol kedua pada minit ke-37.

Babak kedua sekadar formaliti apabila Real yang mengejar piala buat kali keenam dalam 10 musim, dikalahkan oleh pasukan City yang berpeluang menjuarai tiga piala semusim.

Pasukan Carlo Ancelotti kelihatan pasti pulang hampa apabila sepakan percuma Kevin De Bruyne menerjah Militao pada minit ke-76.

Erling Haaland dan Pep Guardiola, girang dengan kejayaan City ke final Liga Juara-Juara

Alvarez melakukan penamatan sempurna yang sukar dilupakan untuk City dengan gol keempat selepas masuk sebagai pengganti Erling Haaland.

Terdapat suasana jangkaan dan ketegangan sebelum sepak mula di gelanggang City, lebih-lebih lagi apabila pertembungan itu dianggap sebagai final de-facto dengan Inter dalam final pertama mereka selama 13 tahun walaupun musim Serie A yang biasa-biasa saja, menanti pemenang.

Barisan pemain hampir sama dengan keputusan seri 1-1 di Bernabeu minggu lalu, satu-satunya perubahan adalah di barisan belakang Real dengan Militao menggantikan Antonio Rudiger.

Sama seperti di ibu negara Sepanyol, City menguasai perlawanan dengan Real hampir tidak dapat melakukan hantaran yang biasa dilakukan. – REUTERS

- Advertisement -