Man City lebih baik dan berhak menang

Wajah Ancelotti yang kelihatan kecewa selepas kekalahan Real Madrid
- Advertisement -

Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui mereka dikalahkan oleh pasukan yang lebih baik ketika tewas 4-0 kepada Manchester City yang melengkapkan kekalahan agregat 5-1 dalam separuh akhir Liga Juara-Juara.

City yang ditewaskan oleh Real pada peringkat yang sama musim lalu, membalas dendam kekalahan yang menyayat hati itu dengan persembahan cemerlang di hadapan penyokong. Hanya kecemerlangan penjaga gol Real, Thibaut Courtois menghalang mengalami kekalahan lebih teruk.

- Advertisement -

“Mereka bermain lebih baik daripada kami dan berhak menang.

“Mereka memberikan banyak tekanan seawal permainan dan taktik itu berjaya untuk mereka kerana menyukarkan kami mendapatkan bola dan mereka mendahului dua gol.

“Bermula detik itu, sukar untuk kembali menguasai permainan. Kami mencuba pada babak kedua… tetapi ia tidak berjaya,” kata Ancelotti.

Mengakui perlawanan itu menyakitkan, namun katanya terlalu awal untuk menganalisis apa yang telah berlaku.

“Menilai hari ini, pada masa ini, tidak masuk akal,” katanya.

“Ia adalah kekalahan yang menyakitkan, ia sangat menyakitkan. Tetapi ia boleh berlaku. Kami mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara menentang lawan yang kuat. Mereka bermain lebih baik dan meninggalkan kami tanpa perlawanan akhir. Kami perlu belajar dan untuk musim depan, untuk menjadi lebih baik.”

Setahun selepas memenangi dua kejuaraan, LaLiga dan Liga Juara-Juara, serta menjadi pengurus pertama yang merangkul kejuaraan di lima liga terbaik Eropah, Ancelotti berdepan untuk menamatkan kempen dengan hanya Piala Sepanyol dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Bagaimanapun, Ancelotti mencipta satu lagi rekod apabila menjadi jurulatih yang mempunyai perlawanan Piala Eropah paling banyak (191), melepasi pencapaian bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson.

“Saya fikir ia adalah musim yang baik. Kami perlu muncul dalam beberapa perlawanan yang kami ada di hadapan kami. Saya fikir mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara adalah satu kejayaan kerana hanya empat pasukan yang layak ke empat pasukan terakhir,” kata Ancelotti – REUTERS

- Advertisement -