ALOR SETAR: Menteri Besar memberitahu Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah akan dibubarkan pada akhir Jun depan iaitu minggu keempat.
Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembubaran itu bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, di mana tarikh pilihan raya akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya perkara itu juga dijelaskan pada sidang Dun lepas.
“Peralihan tampok pemerintahan tiga tahun lalu berjalan mengikut undang-undang dan tidak menyanggahi Perkara 36 dan 37 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Saya juga sangat menghargai sokongan rakyat tanpa bantahan dengan peralihan kerajaan yang berlaku 17 Mei 2020,” katanya di sini semalam.
Oleh itu beliau merakam ucapan penghargaan kepada jentera jentera kerajaan yang memberi kerjasama baik terutama memastikan pelan jangka panjang Kedah 2035 menjadi kenyataan.
“Tahniah kepada jentera kerajaan yang diketuai Setiausaha Kerajaan negeri atas kerjasama sepanjang tiga tahun PERIKATAN NASIONAL (PN) mentadbir Kedah.
“Penghargaan itu juga kepada Pegawai Kewangan, Penasihat Undang-Undang, Timbalan SUK, Pengarah Pejabat Tanah dan para pegawai daerah yang banyak membantu,” ujarnya.
Sanusi turut menjunjung tinggi segala tunjuk ajar serta nasihat Tuanku Sultan Kedah sepanjang mentadbir kerajaan negeri.
Kata beliau Tuanku Sultan merupakan sultan begitu luas pengetahuan dalam bidang pentadbiran, ketenteraan, perniagaan, alam sekitar, pengurusan dan pelbagai bidang lain.
“Saya juga tidak lupa menghargai khidmat 10 anggota Exco yang sentiasa memberi kerjasama dan berperanan dengan baik.
“Pandangan pembangkang juga diberi perhatian. Mana yang betul diambil sebagai teguran. Mana yang tak betul, saya perbetulkan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 18/5/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!