Saidina Osman wakaf telaga untuk manfaat orang Islam

Nik Muhammad Nasri Nik Malek
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 73)

- Advertisement -

KETIKA para sahabat Nabi SAW berhijrah berhijrah ke Madinah, mereka tidak mempunyai sumber air yang banyak. Ada penduduk Yahudi di Madinah yang mempunyai telaga, menjual airnya kepada mereka yang memerlukannya. Perkara ini menyulitkan orang ramai, terutama orang Islam yang baharu berhijrah ke Madinah.

Ada yang datang mengadu kepada Nabi SAW. Nabi menawarkan kepada mana-mana sahabatnya yang bersedia membelinya untuk manfaat orang Islam.

Saidina Osman bertanya:
أنشدُكُم باللَّهِ الَّذي لا إلَهَ إلَّا هوَ، هل تعلمونَ أنَّ رسولَ اللَّهِ، قالَ: من يبتاعُ بئرَ رومَةَ غفرَ اللَّهُ لَهُ؟ فأتيتُ رسولَ اللَّهِ فقلتُ: قد ابتعتُ بئرَ رومةَ، قالَ: فاجعَلها سقايةً للمسلمينَ وأجرُها لَكَ، قال: نعَم
Maksudnya: Aku bertanya kepada kamu dengan nama Allah yang tiada tuhan melainkan Dia. Adakah kamu tahu bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang membeli telaga Roumah, Allah akan mengampunkannya? Aku datang kepada Rasulullah SAW, lalu aku berkata: ‘Aku beli telaga Roumah.’ Nabi bersabda: ‘Jadikannya sumber minuman untuk orang Islam. Pahalanya untukmu. Beliau menjawab: Ya.

Saidina Osman membeli separuh telaga itu daripada seorang Yahudi dengan harga 12,000 (dinar atau dirham). Beliau menjadikan telaga itu sehari untuknya dan sehari berikutnya untuk Yahudi itu. Orang Islam menimba air telaga secara percuma pada hari giliran Saidina Osman yang mencukupi untuk dua hari.

Oleh itu, pada hari giliran Yahudi yang mengenakan bayaran untuk air, tiada orang Islam yang menimbanya. Apabila Yahudi itu melihat kemerosotan kedatangan orang Islam, beliau menjual telaganya kepada Saidina Osman dengan harga 8,000 (dinar atau dirham).
Akhirnya telaga itu diwakafkan oleh Saidina Osman untuk manfaat orang Islam.

Pengajaran dari kisah di atas:

1) Air merupakan sumber asas penting kepada manusia, negeri dan negara. Nabi SAW mengingatkan bahawa ia dikongsi secara bersama oleh semua orang. Pemerintah mesti menjamin sumber air bersih untuk rakyatnya. Ia tidak boleh dipolitikkan hingga memudaratkan rakyat. Dalam konteks sejarah di Kelantan, peruntukan yang sepatutnya diterima oleh kerajaan Kelantan dinafikan hingga mengganggu kepentingan air ini kepada negeri dan rakyat Kelantan.

2) Wakaf adalah salah satu instrumen penting yang ditunjuk oleh syarak menyelesaikan isu masyarakat. Dalam bidang pendidikan misalnya, Universiti Al-Azhar dibangunkan melalui konsep wakaf ini. Instrumen wakaf ini, jika digunakan dengan sebaik mungkin, ia dapat membantu pembangunan masyarakat, negeri dan negara dengan baik.

3) Orang Yahudi sepanjang zaman sentiasa mengeksploit apa sahaja aspek untuk kepentingan mereka sambil memudaratkan orang lain. Contoh mudah ialah seperti dalam kisah telaga di atas. Ekonomi sepatutnya dikuasai oleh orang Islam, bukan sebaliknya.

4) Kebijaksanaan Saidina Osman menguruskan telaga Roumah dan pembeliannya dari orang Yahudi wajar dipelajari oleh orang Islam. Sistem ekonomi semasa, perdagangan, perniagaan, industri dan lain-lain dikuasai oleh orang bukan Islam. Setengahnya sehingga memusuhi Islam. Ekonomi digunakan sebagai alat menguasai dan menjajah umat Islam.

5) Keberkatan Saidina Osman dalam menguruskan ekonomi berpanjangan hingga ke hari ini. Umat Islam mesti mengambil berat tentang konsep berkat ini yang tiada dalam istilah ekonomi lain.

6) Alangkah baiknya jika semua sektor iaitu politik, ekonomi, sosial dan lain-lain dikuasai oleh umat Islam. Bukan bermakna untuk menafikan hak orang lain, tetapi kerana Islam itulah yang sebenarnya membawa rahmat ke sekalian alam. – HARAKAHDAILY 17/5/2023

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -