Kalimah Allah: MAIS terkilan kerajaan tarik balik rayuan

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
- Advertisement -

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

- Advertisement -

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, MAIS berpendirian kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan, sebaliknya ia juga melibatkan akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Raja sebagai ketua agama negeri.

Kata beliau sebelum ini MAIS dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan bertindak sebagai sahabat mahkamah.

“Bagaimanapun MAIS merasa terkilan dan kesan dengan tindakan unilateral pihak kerajaan yang menarik balik rayuan tanpa berunding dengan pihak MAIS dan pihak-pihak yang terlibat, mempunyai kepentingan dalam kes rayuan tersebut.

“MAIS bertanggungjawab untuk melindungi akidah umat Islam di Selangor. MAIS juga berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan Selangor pada 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama Kristian di Selangor,” katanya pada kenyataan hari ini.

Kenyataan itu melarang penggunana kalimah ALLAH dlam kitab Bible (bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di Selangor.

Baru-baru ini kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Abdul Aziz juga berkata, MAIS menegaskan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam di Selangor adalah suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 yang berkuatkuasa di Selangor dan menyalahi fatwa yang diwarta pada 18 Februari 2010.

“MAIS berpandangan demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah ALLAH wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi negara memutuskan isu itu secara muktamad dan boleh menjadi panduan semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah ALLAH,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2023