DEWAN Pemuda PAS Negeri Perak menempelak keputusan Kerajaan Campuran PH-BN yang menarik kembali rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan kalimah Allah. Tindakan itu jelas melanggar titah Istana oleh DYMM Sultan Selangor serta DYMM Sultan Johor yang meminta Kerajaan Persekutuan di era PERIKATAN NASIONAL membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
Tindakan itu juga menyanggahi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa kalimah Allah merupakan kalimah suci yang khusus dan tidak boleh digunakan apatah lagi disamakan dengan agama-agama lain seperti yang didedahkan mantan Menteri Agama, Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri baru-baru ini.
Lebih menghairankan apabila keputusan ini dibuat hanya melalui serahan nota kepada jemaah Menteri tanpa dibincangkan oleh Kabinet apatah lagi mendapatkan pandangan daripada Menteri Agama yang menjadi antara pemegang taruh penting dalam isu ini. Sikap jelik dan tidak peka dengan sensitiviti orang Islam ini adalah satu bentuk provokasi melampau kerana telah menggagalkan usaha menjaga kemuliaan kalimah Allah melalui jalan perundangan di negara ini.
Adakah wujud tangan ghaib yang mencatur kepimpinan negara dalam membuat keputusan-keputusan yang merugikan umat Islam? Jika ada siapakah pemilik tangan ghaib tersebut sehingga Kerajaan Campuran PH-BN hari ini berani menyanggahi titah dari Istana yang bertanggungjawab dan berautoriti menjaga kesucian Islam?
Umat Islam di Malaysia melihat betapa tidak seriusnya kerajaan hari ini dalam meletakkan kepentingan Islam serta memelihara kesucian agama Islam. Tindakan yang telah menoreh luka besar di jiwa umat Islam ini akan menjadi pemangkin penolakan rakyat secara besar-besaran kepada mana-mana pihak yang merancang dan berkomplot dalam mencabar kedaulatan dan kesucian Islam di negara Malaysia ini.
YB USTAZ MOHD HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda
Dewan PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 17/5/2023
Kalimah Allah: K’jaan Madani langgar titah Istana?
- Advertisement -