Isu kalimah Allah – Memperbetul kekeliruan

- Advertisement -

KEKELIRUAN 1: Isu ini hanya membabitkan penganut Kristian di Sarawak.

Rujukan: https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2023/05/1101910/guna-kalimah-allah-terhad-di-sarawak-hanya-untuk-penerbitan-bahan 

Jawapan:
Keputusan Mahkamah Tinggi menyatakan pekeliling KDN tahun 1986 adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. Pekeliling tersebut menyebut:

“…Perkataan yang tidak boleh dipakai atau digunakan dalam semua penerbitan agama Kristian di negara ini ialah: 1. Allah, 2. Kaabah, 3. Baitullah, 4. Solat”.

Pekeliling dengan perkataan inilah yang diisytihar tidak sah. Pekeliling tidak merujuk hanya penerbitan di Sarawak, bahkan merujuk kepada penerbitan Kristian di negara ini. 

Kekeliruan 2: Isu ini adalah hak peribadi seorang penganut Kristian untuk tujuan pembelajaran.

Jawapan:
Kes ini terbahagi kepada 2 pusingan. Dalam pusingan pertama, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa CD (yang mengandungi kalimah Allah) yang dirampas oleh KDN dikembalikan. Namun plaintif masih mahu meneruskan dengan tuntutan lain untuk membatalkan Pekeliling KDN 1986. Mahkamah Tinggi menyebut:

“[17] The applicant filed her cross-appeal on 15 August 2014 against the non-granting by the learned High Court Judge of reliefs sought in prayers (c), (d), (e), (f), (h), (i) and (j)”

Maka Mahkamah Rayuan menghantar semula kes ke Mahkamah Tinggi untuk itu. Maka pusingan kedua bermula, yang akhirnya Mahkamah memutuskan Pekeliling 1986 itu tidak sah.

Kalau Jill Ireland hanya mahu kuatkuasakan haknya untuk pembelajaran, cukuplah dia belajar apabila mendapat semula CD tersebut. Namun, perjuangannya tidak berhenti di situ. Dia mahu pekeliling itu juga dibatalkan, dan dia berjaya.

Dan Kerajaan Madani tidak teruskan rayuan.

Kekeliruan 3: Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) juga berpendapat kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam, maka TGHH juga menyokong keputusan Mahkamah Tinggi, dan penarikan balik rayuan.

Rujukan: Netizen.

Jawapan:
TGHH menyatakan pendirian ini secara umum, namun meletakkan syarat supaya ia dikawal dan tidak disalahguna. TGHH tidak bercakap dalam konteks khusus penerbitan oleh gereja dan agama Kristian. TGHH juga tidak merujuk kepada 3 perkataan lain iaitu kaabah, baitullah dan solat dalam konteks penerbitan Kristian. 

Laporan menyebut:

“Namun jelas beliau, perlu juga dilihat pada tujuan penggunaannya, bukan sekadar lafaz dan ungkapan semata-mata.

“Tegas Abdul Hadi, sekiranya kalimah Allah itu mahu digunakan bertujuan untuk mengelirukan atau menghina penganut Islam, maka harus ada sempadan dan hukumnya”. 

https://www.astroawani.com/berita-politik/sesiapa-pun-tidak-harus-dilarang-guna-perkataan-allah-namun-ada-sempadan-abdul-hadi-287759?amp=1

Dangkallah kita kalau berhujah pendapat itu menyokong keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. 

Kekeliruan 4: Isu ini sengaja dimainkan oleh PN untuk kepentingan politik.

Jawapan:
Isu ini membabitkan kegusaran banyak lapisan masyarakat terutama NGO Islam dan Majlis-majlis Agama Islam Negeri. Antara yang terawal memberi kenyataan mengenai isu ini ialah Majlis Peguam Syariah Wilayah Persekutuan dikepalai Datuk Zainul Rijal. Bukan orang politik. 

Wallahu’alam.

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 17/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -