KUALA LUMPUR: “Sesungguhnya musuh utama yang perlu kita sebagai umat Islam hadapi adalah gangguan ketika dalam menunaikan sebarang ibadah.”
Itu antara kata-kata hikmah yang diutarakan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Ramah Mesra Syawal MAIWP Bersama Rakan Strategik 2023, di Dewan Perdana FELDA Kampung Datuk Keramat, di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam menunaikan apa sahaja ibadah, umat Islam wajib tabah dalam mengharungi pelbagai gangguan.
“Dalam melakukan apa sahaja ibadah, kita kena betul betul kuat terutamanya apabila berhadapan dengan pelbagai jenis gangguan sebagai musuh utama kita sendiri,” tegasnya.
Dalam pada itu, bersempena majlis tersebut, beliau turut memberikan penghargaan kepada rakan-rakan strategik atas kerjasama yang diberikan dalam melakukan kegiatan-kegiatan agama anjuran MAIWP.
Antara tetamu yang hadir dalam majlis yang meyajikan juadah istimewa seperti Cendol Songkok Tinggi, kambing golek, sate, kuih-muih, nasi berserta lauk-pauk yang lazat itu termasuklah daripada MARA, Angkatan Tentera Malaysia, media, Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Universiti Teknologi Malaysia dan lain-lain, serta tidak ketinggalan artis Adam Corrie.
“Saya turut berbesar hati dengan rakan-rakan strategik pihak kami (MAIWP) kerana melalui bantuan yang diberikan, pelbagai perkara yang dapat kami lakukan.
“Oleh sebab itu, kami mengadakan majlis ini sebagai tanda penghargaan kerana kami tidak dapat melakukan pelbagai perkara tanpa bantuan daripada anda semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2023