Aminuddin dinobat Tokoh Usahawan Terengganu 2022

Foto daripada Facebook Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Usaha berterusan dan sikap tidak mudah putus asa menjadi resipi kejayaan Aminuddin Mat Yusof menguruskan perniagaan perkapalan dalam bidang minyak dan gas sehingga muncul sebagai usahawan paling berjaya di Terengganu.

- Advertisement -

Dalam tempoh 25 tahun, Aminuddin, 57, yang merupakan Pengarah Urusan Amir Vision Sdn Bhd kini memiliki lima kapal utiliti yang bernilai RM125 juta dan sebuah kapal nelayan moden diperbuat daripada besi berharga RM10 juta.

Selain perusahaan dalam sektor perkapalan, beliau juga berjaya mengembangkan perniagaan dengan menubuhkan 15 syarikat dalam pelbagai bidang termasuk perikanan, industri halal serta pendidikan.

Jadi tidak hairanlah apabila beliau dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Terengganu 2022 oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu pada malam Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT 2022) malam tadi.

Aminuddin berkata kejayaan tersebut adalah hasil usaha gigih beliau serta hampir 700 kakitangannya yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dan cemerlang.

Menurut Aminuddin pelbagai ranjau dan cabaran terpaksa dilalui sebelum beliau mampu mengecap kejayaan seperti hari ini.

“Cabaran terbesar ialah ketika kejatuhan industri minyak dan gas sekitar tahun 2015 yang menyebabkan kelima-lima kapal syarikat saya tidak disewa. Ketika itu keadaan syarikat memang tenat kerana perlu membayar hutang bank dan gaji pekerja yang keseluruhannya hampir RM3 juta.

“Bagaimanapun saya tidak cepat berputus asa. Sebagai usahawan kita perlu sentiasa cekal dan berani berdepan dengan apa juga masalah mendatang,” katanya ketika ditemui di AUT 2022 di Taman Tamadun Islam di sini, malam tadi.

Selain itu Aminuddin berkata kejayaan sesebuah syarikat juga bergantung kepada semangat serta kerjasama berpasukan, justeru beliau amat menjaga kebajikan pekerja supaya mereka lebih bermotivasi dan bekerja dalam keadaan yang gembira serta kondusif.

“Setiap bulan kami akan adakan solat hajat, bacaan Yasin beramai-ramai dan sambutan hari lahir pekerja sebagai penghargaan kepada mereka.

“Malah saya turut menubuhkan Yayasan Sulaiman Al-Haj untuk menyalurkan bantuan pendidikan kepada anak kakitangan dan pelajar sekolah yang terpilih di Terengganu,” katanya yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan piala.

Upacara penyampaian AUT 2022 disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. (Foto atas)

Sebanyak 56 anugerah disampaikan pada AUT 2022 termasuk Anugerah Warisan, Anugerah Usahawan Muda, Anugerah Usahawan Berprestasi Tinggi dan Anugerah Usahawan Mikro Desa. – BERNAMA

- Advertisement -