
BALIK PULAU: Lebih 4,000 peserta perhimpunan aman membantah projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) di Unit Nelayan Sungai Batu menyeru kerajaan negeri mendengar suara hati nelayan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang, Ibrahim Che Rose berkata meskipun baru-baru ini kerajaan negeri memutuskan menambak satu pulau daripada cadangan asal tiga pulau, namun bantahan tetap diteruskan sehingga PSI berjaya dibatalkan.
Katanya, nelayan bukan sahaja menolak projek PSI yang dirancangkan di Permatang Damar Laut malah menolak sebarang projek tambakan di seluruh Pulau Pinang yang menjejaskan punca pendapatan dan sumber laut.
“Saya berharap kerajaan negeri pandang kami, supaya menolak pembangunan pulau ini. Begitu juga dengan perdana menteri kita yang datang pada 2019 menyatakan akan membantu nelayan. Hari ini dia telah bawa keluar permit (kelulusan EIA) untuk kerajaan negeri membuat pulau ini. Kita tetap membantah!
“Selagi ada hayat selagi itulah kita membantah projek ini!” ucapnya yang turut menyeru nelayan meneruskan bantahan di Parlimen nanti.
Berpengalaman sebagai nelayan selama 40 tahun, Ibrahim berkata pendapatan sebagai nelayan cukup lumayan telah menarik minat generasi muda untuk turut menyertai pekerjaan sebagai nelayan.

“Mengapa kerajaan negeri tidak nampak? Mengapa PM10 tak nampak? Saya berharaplah PM kita ini sedar diri, muhasabah diri, tolonglah nelayan yang terdiri daripada pelbagai masyarakat tidak kira Melayu Cina dan India.
“Inilah mereka, inilah pengundi yang akan memilih kerajaan pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berucap dalam himpunan bantah projek PSI pada Ahad yang dihadiri para nelayan, penduduk tempatan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Berkata kepada pemberita, Ibrahim mewakili 6,000 nelayan di Pulau Pinang akan menyerahkan memorandum bantahan projek PSI kepada Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memohon agar baginda dapat melihat nasib nelayan di sini. – HARAKAHDAILY 15/5/2023