Menelusuri kisah agung surah al-Kahfi (11)

- Advertisement -

Sebutan kalimah insya-Allah

Kisah berikutnya adalah mengenai salah seorang raja yang hebat pada suatu ketika dahulu yang dikenali sebagai Zulqarnain. Zulqarnain dari segi istilahnya bermaksud orang yang mempunyai dua tanduk. Ada ulamak yang berpendapat bahawa dua tanduk bererti menguasai Timur dan Barat. 

Pendapat lain mengatakan bahawa dua tanduk merujuk kepada topi yang bertanduk dua yang dipakainya. Siapa sebenarnya Zulqarnain tidak dapat dijelaskan dengan muktamad kerana tidak diceritakan di dalam al-Quran mengenai identitinya melainkan kisah perjalanan hidupnya sahaja:

- Advertisement -

وَيَسْـَٔلُونَكَ عَن ذِى ٱلْقَرْنَيْنِ قُلْ سَأَتْلُوا۟ عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا

“Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Zulqarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepadamu cerita mengenainya.” (83)”

Orang-orang yang bertanya ialah beberapa orang Musyrikin Makkah. Mereka pergi berjumpa dengan orang Yahudi di Madinah dan bercerita mengenai seorang pemuda yang membawa agama baru yang mengakui dirinya ialah seorang Nabi. Lalu, orang Yahudi meminta supaya mereka pulang dan menanyakan tiga soalan kepadanya. Jika soalan-soalan tersebut dapat dijawab, maka benarlah dia merupakan seorang Nabi. 

Soalan-soalannya adalah mengenai pemuda yang melarikan diri dan tidur dalam gua selama beratus tahun, seorang raja yang menguasai Timur dan Barat serta roh. Nabi menyuruh agar mereka datang pada keesokan hari tanpa menyebut kalimah Insya-Allah. Akibatnya, Jibril tidak bertemu dengan Nabi selama dua minggu [1].

Allah melarang kita daripada membuat janji tanpa menyebut kalimah Insya-Allah. Oleh itu, kita sebagai orang beriman perlu ‘berlapik’ ketika berbicara. Sebab kita tidak mengetahui apa yang akan terjadi pada masa akan datang. 

Kekuatan Zulqarnain yang luar biasa

Di dalam al-Quran, diceritakan mengenai dua orang raja hebat yang soleh dan dua orang raja yang zalim. Salah seorang raja yang soleh dan beriman ialah Zulqarnain. Seorang lagi ialah Nabi Sulaiman. Menurut ulamak, dua orang raja ini layak untuk dijadikan contoh teladan kepada kita terutamanya pemimpin negara seperti raja, sultan, Perdana Menteri mahupun Presiden. 

Manakala raja yang zalim pula salah seorangnya ialah Firaun (gelaran kepada raja) yang hidup pada zaman Nabi Musa A.S yang ditenggelamkan di Laut Merah. Raja kedua yang zalim ialah Namrud (memerintah kerajaan Babylon (kini Iraq)) yang hidup pada zaman Nabi Ibrahim A.S yang akhirnya dikalahkan oleh nyamuk:

إِنَّا مَكَّنَّا لَهُۥ فِى ٱلْأَرْضِ وَءَاتَيْنَٰهُ مِن كُلِّ شَىْءٍ سَبَبًا

“Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu. (84)”

Dua unsur kekuatan Zulqarnain adalah kewangan yang kukuh dan tentera yang hebat. Inilah dua asas yang membolehkan suatu negara itu mampu bertahan. Kuat dari segi ekonomi, negara yang memiliki kewangan yang kukuh dan juga tidak bergantung kepada negara luar serta mampu berdikari misalnya bekalan makanan yang mencukupi. 

Sustainability Kerajaan Kelantan

Almarhum Tuan Guru Nik Aziz pernah berhasrat untuk menjadikan Negeri Kelantan sebagai negeri ‘Jelapang Makanan Negara’.  Almarhum mahu agar Kelantan menjadi pengeluar makanan untuk kegunaan negeri sendiri dan juga seluruh rakyat di Malaysia. Sebab kita mungkin tidak mampu bersaing dalam perindustrian seperti pelabuhan, lapangan terbang yang besar mahupun lebuh raya. 

Apabila pandemik COVID-19 melanda, akhirnya kerajaan Malaysia memperkenalkan aspek keselamatan makanan. Kini, ada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Justeru, makanan lebih penting daripada wang, minyak mahupun industri. 

Jepun sehingga hari ini merupakan kerajaan subsidi tanaman padi. Ia telah pun bersedia dengan sebarang kemungkinan misalnya peperangan, rakyatnya boleh makan dan tidak akan memberontak. Nampaknya pemikiran Almarhum sangat jauh ke hadapan. 

Perjalanan Zulqarnain yang bermakna

فَأَتْبَعَ سَبَبًا

“Maka dia pun menempuh suatu jalan. (85)”

Beliau bergerak menuju ke suatu tempat mengikut perancangannya:

حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ ٱلشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِى عَيْنٍ حَمِئَةٍ وَوَجَدَ عِندَهَا قَوْمًا قُلْنَا يَٰذَا ٱلْقَرْنَيْنِ إِمَّآ أَن تُعَذِّبَ وَإِمَّآ أَن تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا

“Hingga apabila dia telah sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: “Wahai Zulqarnain! Kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka.” (86)”

Tujuannya adalah untuk menakluki kawasan tersebut yang didiami oleh orang-orang kafir. Allah memberikan ilham kepadanya sama ada untuk membunuh atau melepaskan mereka:

قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوْفَ نُعَذِّبُهُۥ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِۦ فَيُعَذِّبُهُۥ عَذَابًا نُّكْرًا

“Zulqarnain berkata: “Adapun orang yang zalim, maka kami kelak akan menghukumnya, kemudian dia dikembalikan kepada Tuhannya, lalu Tuhan mengazabnya dengan azab yang tidak ada taranya. (87)”

Orang-orang kafir yang jahat akan dihukum sesuai dengan kesalahan yang dilakukan:

وَأَمَّا مَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَٰلِحًا فَلَهُۥ جَزَآءً ٱلْحُسْنَىٰ وَسَنَقُولُ لَهُۥ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا

“Adapun orang yang beriman dan beramal soleh, maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan dan akan kami titahkan kepadanya (perintah) yang mudah daripada perintah-perintah kami.” (88)”

Orang-orang baik pula akan diberikan balasan sesuai dengan kebaikan mereka:

ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا

“Kemudian dia menempuh jalan (yang lain). (89)”

Setelah selesai, beliau berpatah semula dan menuju ke tempat lain:

حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ ٱلشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَىٰ قَوْمٍ لَّمْ نَجْعَل لَّهُم مِّن دُونِهَا سِتْرًا

“Hingga apabila dia telah sampai di tempat terbit matahari (sebelah Timur), dia mendapati matahari itu menyinari segolongan umat yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sesuatu yang melindunginya daripada (cahaya) matahari itu. (90)”

Beliau menuju ke suatu tempat di sebelah matahari terbit. Beliau menjumpai suatu kaum yang tidak ada sebarang perlindungan iaitu yang tiada tempat berteduh dan ada juga yang tidak berpakaian lengkap. Kedatangan Islam mengubah cara penjagaan diri seperti mandi, potong rambut dan kuku serta cara memakai baju:

كَذَٰلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا

“Demikianlah, dan sesungguhnya ilmu Kami meliputi segala apa yang ada padanya. (91)”

ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا

“Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain lagi). (92)”

حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ ٱلسَّدَّيْنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلً

“Hingga apabila dia telah sampai di antara dua buah gunung, dia mendapati di sebalik kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak memahami pembicaraan. (93)”

Ada suatu kaum yang tidak dapat difahami percakapan mereka. Mungkin bahasa mereka pelik. 

Yakjuj dan Makjuj serta bangsa dunia yang ganas

قَالُوا۟ يَٰذَا ٱلْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰٓ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا

“Mereka berkata: “Wahai Zulqarnain! Sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka bolehkah kami membayarmu imbalan supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?” (94)”

Mereka berada di dalam ketakutan serta sentiasa diganggu dan diserang oleh Yakjuj dan Makjuj seperti harta dirampas, dibunuh dan dianiaya. Mereka ingin memberikan imbuhan kepada Zulqarnain untuk membina benteng besar yang tidak dapat dilintasi oleh Yakjuj dan Makjuj. Yakjuj dan Makjuj yang sebenar tidak dapat diketahui cuma disifatkan sebagai kaum yang ganas. 

Di Eropah, terdapat satu kaum yang ganas iaitu Viking. Mereka datang dari kawasan Scandinavia yang meliputi Sweden, Norway dan Denmark, menyerang Eropah sehingga menakluki England dan Jerman. Sebahagiannya ada yang menjadi raja di England dan begitu juga dengan keturunan selepasnya. Mereka membunuh dan kadang-kadang sehingga meminum darah. Di sebelah Timur pula terdapat bangsa Mongol yang ganasnya lebih kurang dengan Viking. Lebih dahsyat lagi, mereka memakan daging orang. 

Begitu juga dengan bangsa Vietnam yang ganas sehingga menjatuhkan Kerajaan Melayu di Champa. Orang Siam melarikan diri dari Ayutthaya menuju ke Bangkok. Pusat pelabuhan asal Thailand adalah di Ayutthaya. Namun disebabkan oleh serangan Dai Viet, maka jatuhlah kerajaan Islam besar di Champa. Suku Thai yang berpusat di Ayutthaya juga pernah dikalahkan oleh bangsa Vietnam. 

Pembinaan tembok penghalang kerosakan Yakjuj dan Makjuj

قَالَ مَا مَكَّنِّى فِيهِ رَبِّى خَيْرٌ فَأَعِينُونِى بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا

“Zulqarnain berkata: “Apa yang telah dianugerah oleh Tuhan kepadaku adalah lebih baik imbalannya, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding penghalang antara kamu dan mereka. (95)”

Zulqarnain menolak imbuhan tersebut kerana apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadanya sudah pun melebihi daripada apa yang ingin mereka berikan. Namun begitu, beliau bersetuju untuk membina tembok itu dengan syarat mereka memberikan kekuatan tenaga seperti pekerja kepadanya. 

Benteng dibina antara dua gunung. Benteng yang tinggi dan diperbuat daripada besi dan tembaga. Ia menyebabkan mereka terselamat daripada Yakjuj dan Makjuj. Lokasi benteng itu tidak dapat diketahui:

ءَاتُونِى زُبَرَ ٱلْحَدِيدِ حَتَّىٰٓ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ ٱلصَّدَفَيْنِ قَالَ ٱنفُخُوا۟ حَتَّىٰٓ إِذَا جَعَلَهُۥ نَارًا قَالَ ءَاتُونِىٓ أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا

“Berilah aku potongan-potongan besi! Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulqarnain: “Tiuplah (api itu)!” Hingga apabila besi itu telah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: “Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar aku tuangkan ke atas besi panas itu.” (96)”

Gabungan besi dan tembaga menjadikan benteng itu lebih kuat. Sungguh hebat kerana pada masa itu sudah pun ada besi:

فَمَا ٱسْطَٰعُوٓا۟ أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا ٱسْتَطَٰعُوا۟ لَهُۥ نَقْبًا

“Maka mereka (Yakjuj dan Makjuj) tidak dapat mendakinya dan mereka tidak dapat pula melubanginya. (97)”

Benteng yang tinggi dan licin tidak dapat ditembusi oleh mereka. 

قَالَ هَٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّى فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ رَبِّى جَعَلَهُۥ دَكَّآءَ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّى حَقًّا

“Zulqarnain berkata: “Ini (dinding) adalah rahmat daripada Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Tuhanku itu adalah benar.” (98)”

Itulah rahmat Allah sehingga benteng itu mampu disiapkan cuma ia akan tetap runtuh apabila tiba masanya nanti. 

History repeats itself

Tarikh, tempat dan nama sebenar tidak diceritakan di dalam al-Quran. Sebab menurut ulamak, Allah sengaja tidak memberitahu agar kita mengambil iktibar: 

“History repeats itself” (Sejarah akan berulang)

Oleh sebab itu, kita mesti belajar daripada sejarah. Bagaimana orang pada zaman dahulu boleh menjadi hebat misalnya kerajaan Melayu Melaka. Hebatnya Melaka dalam sejarah ada sebabnya dan jatuhnya Melaka dalam sejarah ada sebabnya. 

Hebatnya suatu kerajaan apabila menjaga agama dengan baik dan meletakkan Islam sebagai dasar. Pada asasnya, negeri Melaka adalah negeri Islam. Undang-undang dan hukuman mengikut al-Quran. 

Namun akhirnya, Melaka jatuh kerana sikap Sultan yang tidak peduli akan agama dan tidak berakhlak baik. Sultan Mahmud suka berfoya-foya dengan isteri orang. Baginda menjadikan Tun Fatimah sebagai permaisuri Melaka setelah suaminya iaitu Tun Ali dibunuh. 

Melaka dikalahkan oleh Portugis apabila dipimpin oleh Sultan Ahmad yang merupakan anak kepada Sultan Mahmud. Akibatnya, mereka melarikan diri ke Muar. Ketika dalam perjalanan, Baginda merungut mungkin kekalahan Melaka itu merupakan hukuman Allah kepadanya kerana banyak perbuatan yang tidak elok dilakukannya. 

Contoh lain adalah negara Rom. Rom merupakan empayar besar di Barat. Kehebatan ekonomi dan tenteranya menyebabkan orang takut. Legion ialah tentera Rom yang paling digeruni dan tiada lawannya. 

Namun begitu, ia jatuh disebabkan oleh raja yang hidup berfoya-foya, tidak peduli terhadap rakyat, cukai yang tidak munasabah dikenakan dan hidup dalam maksiat. Sukan yang utama di Rom pada ketika itu ialah Gladiator. Singa yang tersangat lapar dilepaskan untuk berlawan dengan pesalah. 

Allah menghukum apabila kita meninggalkan perkara-perkara yang baik. Walaupun kerajaan bukan-Islam, Allah tetap akan menjaga kerajaan itu sekiranya memerintah dengan adil. Keadilan membawa rahmat. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 15 Mei 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 15/5/2023

Rujukan:

[1] Tafsir Ibnu Kathir.

- Advertisement -