Imam Abu Hanifah kesampingkan Hadis?

Di sebalik tuduhan

- Advertisement -

TIDAK seperti Imam Malik (93-179 H) yang merintis Madrasah al-Hadith, Imam Abu Hanifah (80-150 H) membentuk Madrasah al-Ra’yi (مدرسة الرأي) yang selanjutnya mengidentitikan Mazhab Hanafi. Ketika itu akses bagi mendapatkan sumber-sumber Hadis di Kufah, agak terhad berbanding Madinah yang menjadi pusat penyebaran Hadis.

Apatah lagi jika dibandingkan jumlah para sahabat yang berperanan menyebarkan Hadis di Iraq, tidak seramai seperti yang terhimpun di Hijaz. Proses pengumpulan Hadis pun belum lengkap secara sistematik di zaman tersebut.

Justeru, tuduhan yang mendakwa kononnya Imam Abu Hanifah mendahulukan qias akal berbanding Hadis Nabi bukanlah sesuatu yang baharu. Imam Ibnu Abi al-‘Awwam berkata, Imam Abu Yusuf menceritakan bahawa apabila Imam Abu Hanifah diutarakan sesuatu masalah, beliau akan bertanya kepada para ilmuwan adakah di sana terdapat Nas atau Athar dari para Sahabat terdahulu yang boleh dipadankan sebagai hujah.

Jika terdapat dalil yang dikehendaki, beliau akan berbincang mengenainya. Imam Abu Hanifah akan memilih pandangan yang paling banyak keselarian dengan Hadis dan pandangan para Sahabat. Jika semua pandangan sama rata kekuatan hujahnya, maka barulah beliau akan berijtihad memilih salah satu darinya.

Terdapat kalam Imam Abu Hanifah yang membuktikan bahawa sejak hayatnya, beliau sendiri sedar akan tuduhan melulu ke atas dirinya. Beliau berkata:

“Setiap apa yang telah diucapkan oleh Rasulullah sama ada kami telah mendengarnya atau kami belum pernah mendengarnya, percayalah bahawa kami beriman dengannya dan kami bersaksi itu adalah sabdaan Nabi.” 

Kenyataan tersebut telah jelas menjawab andaian-andaian hasad terhadap Imam Abu Hanifah kononnya beliau mendahulukan akal berbanding Hadis. Mazhab Hanafi adalah warisan dari pemahaman para Sahabat yang berada di Iraq seumpama Anas bin Malik dan Tabi’in seperti al-Sya’bi dan al-Nakha’i.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 15/5/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -