Akan kekalkah PAS di Terengganu?

- Advertisement -

SATU persoalan yang menarik minat semenjak hari pertama kemenangan, kepada semua pihak, baik musuh yang sememangnya mahu menjatuhkan ataupun penyokong yang setia dan bermati-matian mahukan kemenangan ini dipertahankan. Selain daripada dua pihak ini, ia juga menjadi perhatian mata-mata yang duduk di luar Terengganu kerana begitu sengitnya pertembungan antara PAS dan Umno di sini. Ditambah lagi dengan kekayaan negeri yang melimpah ruah itu, menjadikan Terengganu, sebuah negeri yang unik untuk kita bicarakan.

Hampir suku abad dahulu, PAS telah berjaya merampas negeri bertuah ini. Dengan nama-nama besar yang mengungguli kerusi PAS Pusat, seramai lima orang watak utama PAS Pusat ada di Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar, Naib Presiden dan juga Pengarah Pilihan Raya Pusat, Haji Mustafa Ali, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, almarhum Ustaz Harun Taib, Penasihat Undang-undang PAS Pusat, Haji Wan Muttalib Embong dan AJK PAS Pusat yang juga mantan Ketua Pemuda PAS Pusat, almarhum Ustaz Abu Bakar Chik atau Ustaz ABC, (ketika itu semua mereka masih belum menerima apa-apa pingat).

Pasukan mereka dilengkapi dengan AJK PAS Pusat yang lain, almarhum Ustaz Abu Bakar Abdullah, Haji Wahid Endut dan bekas Ketua Hakim Negara, almarhum Tun Salleh Abbas serta barisan ADUN dan Ahli Parlimen lain yang tidak kurang hebatnya. Kemenangan 28-4 itu amat memeranjatkan semua kerana melawan BN waktu itu adalah bererti melawan jentera kerajaan. Dan mengalahkan pasukan BN Terengganu yang diketuai oleh almarhum Dato’ Seri Amar DiRaja Wan Mokhtar Ahmad yang juga sebagai Naib Presiden Umno, serta seorang ulamak, adalah satu kepuasan yang tidak terperi.

Namun, sejarah telah menintakan bahawa PAS Terengganu kalah selepas hanya sepenggal menduduki takhta kerajaan. Dengan berat hati, kita semua terpaksa melepaskannya. Sedih, pilu, kecewa setelah kerajaan yang kita bina melalui perancangan pimpinan selama puluhan tahun itu, dijatuhkan dengan cara sedemikian. Dengan royalti dirampas, tekanan demi tekanan dikenakan, tiadanya penambahan kawasan Parlimen dan DUN yang baru, jumlah keluar mengundi sangat besar dan majoriti memilih BN yang amat meragukan, tiada apa yang dapat diselamatkan.

Akan tetapi, Allah telah mentakdirkan yang BN juga tidak mendapat kebahagiaan atas perlakuan mereka itu. 2004. Bahagia mereka seketika cuma, sebelum memasuki tahun 2008 yang mula menampakkan pergolakan yang dahsyat sesama mereka, sehinggakan turut melibatkan makian kepada istana. Akhirnya Menteri Besar yang menjatuhkan PAS, dijatuhkan oleh seorang rakan beliau sendiri, tatkala rakannya yang lain diam, tidak mahu menerima jawatan Menteri Besar yang sudah diputuskan tidak akan diberikan semula kepada penyandangnya yang lalu oleh istana. Berbilion duit rakyat dibelanjakan dengan sewenang-wenangnya waktu itu.

Apabila Menteri Besar baru masuk pejabat, nasibnya sedikit lebih baik daripada Menteri Besar lama yang diberhentikan itu. Selama enam tahun bertahan, akhirnya dengan esak tangis, beliau juga terpaksa meninggalkan kerusi empuk idaman semua itu dengan cara terpaksa. Lebih pilu ia berlaku pada tarikh yang hampir dengan pernikahan anaknya. Digantikan pula dengan rakannya yang lain yang hampir cemas dijatuhkan dalam masa yang singkat kerana ugutan membawa keluar dua orang ADUN mereka yang berkebetulan kedudukan kerusi mereka hanyalah 17-15. Dengan tinggalan beberapa projek yang menjahanamkan duit rakyat, tanpa rasa malu, mereka mengaku berkhidmat untuk rakyat.

Akhirnya mereka dihumbankan oleh rakyat yang bijak dalam PRU terakhir, lima tahun lalu. Masuklah kembali PAS sebagai pengganti yang menjanjikan 20 manifesto mereka. Sehingga kini, setelah lima tahun, kesemua manifesto itu telah berjaya dilangsaikan dengan kehendak dan izin Allah. Nyata, kerajaan PAS hari ini berbeza dengan dahulu bukan kerana kehebatan, tetapi kerana tekanan yang amat dahsyat yang dihadapi oleh ‘otai-otai’ PAS itu yang mana kita yakin, sesiapapun yang duduk di situ waktu itu, juga akan gagal bertahan.

Bukti sudah nyata, waktu sudah tiba, sudah dikenali wajah dan rupa, siapa dia yang lebih menjaga amanah negeri Darul Iman ini. Alhamdulillah dengan adanya royalti, kita telah berjaya menunaikan semua janji-janji, membayar hampir semua hutang kita, meneruskan banyak projek sakit yang ditinggalkan, membuat beberapa projek baru, membantu rakyat dengan lebih tersusun dan banyak lagi perbezaan yang amat nyata yang dapat kita perhatikan, telah dilaksanakan.

Maka dengan penuh keyakinan, jawapan kepada persoalan itu ialah ya. Insya-Allah dengan usaha yang telah ditunjukkan, doa dan tawakal, kebencian rakyat terhadap penipuan demi penipuan parti lawan, PAS akan kekal memerintah Terengganu bagi penggal kedua. Apatah lagi dengan keputusan PRU15 November lepas telah mencatatkan kemenangan 8-0 di semua kerusi Parlimen. Rakyat Terengganu mahukan PAS memerintah, kepercayaan yang amat tinggi kepada parti Pak Lebai yang amanah ini. Hanya sahaja, kita perlu bersama berusaha keras bagi merealisasikan hasrat ini.

MOHD NASIR ABDULLAH
15 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 15/5/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -