Penduduk miskin dapat beras percuma sejak 2011

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penduduk yang terjejas ekoran kenaikan kos sara hidup sekarang boleh mendapatkan bantuan beras Skim al It’am disediakan kerajaan negeri.

- Advertisement -

Adun Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus berkata, selain beras turut disediakan barang keperluan harian lain yang diberikan secara bergilir setiap bulan kepada penduduk miskin.

“Kalau masih ada penduduk yang tiada makanan di rumah kerana nama dia tidak masuk dalam senarai Skim al Itqan kita akan usahakan bagi mereka dapat merasai bantuan tersebut.

“Mereka kena jumpa penghulu mukim di kampung masing-masing untuk memastikan dia benar-benar memerlukan dan kita akan beri beras, minyak masak dan gula,” katanya di sini.

Abdul Rahman juga berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk memberi bantuan kepada penduduk yang terjejas ekoran kenaikan kos sara hidup dan peningkatan harga barangan keperluan harian sekarang.

“Kerajaan negeri menyenaraikan seramai 100 penduduk miskin di setiap Dun menerima bantuan beras al It’am setiap bulan,” ujarnya.

Malah kata beliau jumlah penerima tidak berubah kerana bergantung keperluan penduduk di 18 mukim di Dun Pasir Tumboh.

Bantuan tersebut dilaksana kerajaan negeri bermula pada 2011 dan diteruskan terus sehingga sekarang, diuruskan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB). – HARAKAHDAILY 14/5/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!