Pertahan Kerajaan PN Kedah, benteng Sanusi

- Advertisement -

JERAI: Para pendukung dan penyokong PAS, BERSATU dan GERAKAN diseru supaya menjadi jentera yang akan menerima dan melaksanakan arahan untuk mempertahan Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada PRN tidak lama lagi.

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, tiga tahun pentadbiran PN dipimpin Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, telah berlangsung dengan baik bersama perubahan-perubahan yang dilaksanakan.

Menurutnya, Sanusi telah menjadi individu penting hinggakan banyak serangan dihadapkan kepada beliau di mana sungguhpun mampu bertahan, tetapi tidak harus dibiarkan menghadapinya berseorangan, sebaliknya semua mesti bersama.

“Kita bersedia untuk bersama-sama menjadi benteng kepada PERIKATAN NASIONAL Negeri Kedah kerana kita akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Pada waktu itu kita akan menyaksikan semula sejarah negara pernah berlaku parti berlawan dengan kerajaan. Kita nampak kali ini kemungkinan besar kita akan menghadapi sejarah itu. 

“Parti terpaksa menghadapi kerajaan. Tahun ini menghadapi Kerajaan Madani,” ujarnya yang juga Ketua Ulamak PAS Pusat pada Himpunan Jentera Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL Negeri Kedah di Guar Chempedak, di sini sebentar tadi.

Beliau berharap semua yang hadir dan mewakili suara di peringkat Parlimen masing-masing itu untuk menjadi benteng kepada Kerajaan PN Negeri Kedah dan Menteri Besar, serta menggerakkan sokongan kepada PN di semua DUN dalam negeri ini. 

Beliau juga berharap seluruh anggota jentera tersebut akan dapat menyanggah sebarang bentuk serangan lawan dan menyedari bahawa semua kerja buat itu ada nilainya di sisi Allah SWT dan rakyat negeri ini serta negara.

“Manfaatkanlah semua itu demi untuk kita memastikan hala tuju kerajaan kita, cita-cita kita demi untuk memastikan ‘Bersih dan Stabil’, memastikan tema yang kita bawa PN BEST akan diketengahkan di tengah masyarakat.

“Dan akan diterima oleh rakyat sekali lagi kita menyaksikan gelombang sokongan anak muda, gelombang sokongan rakyat, gelombang sokongan pengundi kepada PERIKATAN NASIONAL. 

“InsyaAllah inilah tekad kita, inilah keazaman kita yang akan dibuktikan melalui kertas undi pada hari pembuangan undi nanti,” seru beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena. – HARAKAHDAILY 13/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -