ALOR SETAR: Proses menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang menunjukkan perkembangan amat positif apabila berjaya mencapai 1.02 peratus melebihi jadual kemajuan fizikal yang ditetapkan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mengikut jadual kemajuan fizikal, LRA Pelubang sehingga 30 April ini perlu mencapai 12.41 peratus tetapi kemajuan sebenar yang dicapai mencecah 13.43 peratus.
Menurutnya, projek naiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) yang sedang dalam pelaksanaan kini dikendali serta dikawal selia oleh syarikat yang diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri melalui tender terbuka.
“Jadi, saya harap pihak yang gemar membuat provokasi berkenaan masalah bekalan air di Kedah agar berhenti mencari salah orang lain.
“Tidak patut bagi gambaran salah kepada kerja orang lain. Kemudian usaha cari salah dan meletakkan salah itu kepada Menteri Besar (saya). Itu tidak betul,” jelasnya pada sidang media, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Menurut Sanusi, kerja menaiktaraf LRA Pelubang dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri (GLC) Bina Darulaman Bhd (BDB) dengan kos RM431 juta.
Katanya lagi, pihaknya berusaha menyiapkan dua LRA iaitu Pelubang dan Bukit Selambau lebih awal mendahului jadual.
Dalam masa yang sama, BDB digesa agar melakukan ‘speed process layout’ untuk mempercepatkan jajaran paip baharu siap.
“Air yang telah dirawat di LRA lama Pelubang masih berbaki banyak. Apabila semua jajaran baharu paip siap, air boleh disalurkan terutama ke Kampung Tepi Laut, Kampung Laksamana, Kampung Kota Nelayan dan Taman Bersatu di Kuala Kedah,” katanya yang menambah bahawa tindakan sudah dibuat terhadap laporan tentang jajaran paip sepanjang 120 kilometer untuk sampai ke beberapa lokasi di Kuala Kedah. – HARAKAHDAILY 11/5/2023