KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melancarkan Dasar Warga Emas Mukramun yang digubal khusus untuk menjaga hak dan kebajikan warga emas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, dasar tersebut dengan menambah baik dan menyokong Dasar Warga Emas Negara supaya bersesuaian dengan syarak.
Katanya, warga emas merupakan golongan yang perlu dimuliakan dengan meninggikan kedudukan dan menunaikan hak mereka.
“Kita hendaklah bermuamalah dengan cara yang terbaik serta memuliakan mereka dengan menzahirkan penghormatan melalui perbuatan dan tindakan.
“Dasar Warga Emas Mukramun disinonimkan dengan warga emas yang perlu mempersiapkan diri supaya dipandang mulia di sisi Allah,” katanya pada sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri di sini, hari ini.
Mumtaz berkata, sambutan Hari Warga Emas merupakan antara pelan strategi bagi meraikan warga emas di peringkat negeri di samping melancarkan Dasar Warga Emas Mukramun.
Menurutnya ia sebagai tanda keperihatinan dan kecaknaan kerajaan negeri kepada semua golongan rakyat di negeri itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, golongan warga emas merupakan orang berpengalaman dan banyak menyumbang kepada institusi keluarga, masyarakat dan negara.
“Golongan warga emas merupakan penggerak usaha dan pencetus kejayaan bagi pembangunan negara yang dikecapi generasi muda hari ini. Ibarat ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’.
“Warga emas merupakan pelindung institusi keluarga. Kejayaan anak-anak hari ini hasil keringat ‘biar putih tulang, jangan putih mata’.
“Mereka bukan sahaja bertindak sebagai pakar rujuk dalam keluarga malah sebagai teladan kepada generasi muda dalam pelbagai perkara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/5/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!