Serang Gaza: Dunia perlu kutuk tindakan zionis Israel

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan bacul dan ganas rejim zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza dengan melancarkan serangan udara malam kelmarin yang sehingga kini telah mengakibatkan 15 warga Palestin terkorban dan lebih 20 yang lain cedera.

- Advertisement -

Sudah sampainya masanya masyarakat dunia perlu mengambil tindakan tegas ke atas rejim zionis Israel yang selama ini dengan sewenang-wenangnya berlaku kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan serta telah menjajah dan menjarah bumi Palestin selama lebih 74 tahun.

Pelbagai Resolusi PBB dan Perjanjian Damai yang dipersetujui dan dikuatkuasakan telah dicabuli serta nasib Palestin dan warganya tetap sama malah lebih buruk daripada dahulu.

Rejim zionis Israel perlu dikenakan tindakan dan sekatan yang lebih ketat dan tegas daripada sebelumnya berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Isu Palestin adalah satu isu yang cukup “memalukan“ bagi masyarakat dunia kerana ia satu-satunya isu yang tidak mampu diselesaikan sehingga ke hari ini.

Isu Palestin dipinggirkan dan seolah-olah terdapat sikap “double standard“ dalam kaedah menanganinya berbanding pelbagai konflik lain yang berlaku di dunia hari ini mahupun sebelumnya.

OIC, Liga Arab mahupun PBB perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menangani isu Palestin dan perlu meletakkan titik noktah bagi mengakhirinya.

Sampai bila harus dibiarkan ia berlarutan? Adakah sehingga semua warga Palestin terkorban atau Palestin lenyap dari muka bumi ini?

Sudah sampai masanya masyarkat dunia perlu mencapai kata sepakat dalam menangani isu Palestin dan bertindak dengan lebih tegas terhadap rejim zionis Israel.

Selagimana ia berlarutan dan dibiarkan, nescaya Asia Barat akan terus bergolak seterusnya menjejaskan matlamat untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
19 Syawal 1444 / 10 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 10/5/2023