Konflik aliran, penyakit Ahli Kitab dan implikasi ke atas masjid

- Advertisement -

BEBERAPA tahun dahulu saya pernah menulis artikel Waspada Dengan Polemik Khilafiyyah. Namun dari hari ke hari, pertembungan seumpama itu kelihatan meleret-leret lalu menatijahkan konflik yang secara zahir kelihatan ilmiah. Namun jika diamati betul-betul, ia semakin menampakkan dorongan nafsu ingin bertelingkah semata-mata.

Kisah golongan terdahulu adalah cerminan buat kita

Al-Quran menceritakan kisah orang-orang terdahulu sebagai sempadan. Sekalipun yang diceritakan itu adalah sikap-sikap Ahli Kitab dalam kalangan Yahudi atau Kristian, ia adalah cerminan kepada kita umat Islam. Betapa jika berlarutan dengan penyelewengan ilmu dan sikap, akhirnya akan menyerupai perangai golongan yang tersesat itu.

Apatah lagi Nabi telah mengingatkan bahawa umatnya akan terikut-ikut perangai golongan terdahulu iaitu Yahudi dan Kristian secara berdikit-dikit. Maka sudah pastilah, kita tidak boleh membataskan cerita-cerita mereka di dalam al-Quran hanya ke atas mereka semata-mata, tanpa muhasabah ke atas diri kita.

Penyakit Ahli Kitab

Allah telah menceritakan perangai pendeta Yahudi dan Kristian yang saling bertelingkah, padahal kedua-duanya didorong kejahilan dan kesombongan. Firman-Nya:

- Advertisement -

وَقَالَتِ الْيَهُودُ لَيْسَتِ النَّصَارَىٰ عَلَىٰ شَيْءٍ وَقَالَتِ النَّصَارَىٰ لَيْسَتِ الْيَهُودُ عَلَىٰ شَيْءٍ وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ ۗ كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ مِثْلَ قَوْلِهِمْ ۚ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

“Dan orang Yahudi berkata “Orang Nasrani itu tidak mempunyai suatu pegangan”. Dan orang Nasrani pula berkata “Orang Yahudi tidak mempunyai pegangan”. Padahal mereka sama-sama membaca al-Kitab. Demikian pula orang yang tidak berilmu, berkata seperti ucapan mereka itu. Maka Allah akan mengadili mereka pada hari kiamat terhadap apa yang mereka pertelingkahkan padaNya.” 

(al-Baqarah: 113)

Ayat ini turun sebagai reaksi pertelingkahan antara pendeta Yahudi dan Kristian yang disaksikan oleh Nabi. Ibnu Kathir menjelaskan mereka bertelingkah dengan merujuk kitab masing-masing. Sedangkan jika mereka jujur dengan kitab-kitab suci yang dirujuk itu, sudah pasti mereka akan mendapati ada ruang persamaan dan harus memperakui Nabi (Musa dan Isa) yang disanjung oleh masing-masing.

Imam Qatadah menekankan punca kerosakan mereka adalah kerana sikap suka mengada-adakan perkara dalam agama lalu berlaku perpecahan. Jika ditelusuri sejarah perkembangan agama mereka pun, ia bermula dengan konflik aliran hingga terhasil seperti yang ada pada hari ini.

Faktor kenapa rakus bertelingkah?

Al-Quran turut mendedahkan, hakikat pertelingkahan mereka adalah berpunca dari sentimen kebencian yang tidak terkawal. Terdapat 3 tempat di dalam al-Quran, Allah mendedahkan hakikat tersebut:

وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ

“Dan tidaklah bertelingkah sesama golongan yang telah diberikan Kitab itu setelah datang kepada mereka ilmu, melainkan kerana dengki sesama mereka”

(Ali Imran: 19)

وَمَا تَفَرَّقُوا إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۚ

“Dan tidak mereka berpecah setelah datang kepada mereka ilmu, melainkan kedengkian sesama mereka.”

(al-Syura: 14)

فَمَا ٱخْتَلَفُوٓاْ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۚ

“Maka tidaklah mereka bertelingkah melainkan setelah datang kepada mereka ilmu, berlaku hasad sesama mereka.” 

(al-Jathiyah: 17)

Dalam tiga-tiga ayat ini, Allah mendedahkan faktor kedengkian yang memacu pertelingkahan. Apatah lagi dalam lapangan ilmu seringkali dikaitkan dengan reputasi, dan di mana ada soal reputasi maka disitulah wujudnya persaingan. Di mana ada persaingan, di situ jugalah berpotensi wujudnya bibit-bibit kedengkian.

Konflik aliran

Apabila menelusuri polemik tamazhub yang banyak menebarkan sentimen dan kekejian, kita akan menyedari kebenaran yang telah diperingatkan oleh wahyu. Penyakit persaingan sesama ahli ilmu yang menjadikan hasad sebagai modal untuk berseteru. Ia akhirnya akan melupakan orang yang terlibat dalam kancah tersebut soal apakah tujuan sebenar dalam beragama.

Seperti yang telah diingatkan oleh Allah berkaitan penyakit Ahli Kitab yang bertelingkah, hakikatnya berpunca dari penyakit hasad. Apatah lagi jika memahami lapangan ilmu itu berupaya membina pengaruh, pengikut dan lobi kekuasaan, ia sememangnya merangsang nafsu manusia untuk kelihatan serba unggul. Soal reputasi-reputasi seumpama itulah yang menghidupkan hasad.

Jika kita mengikuti pertarungan secara fanatik kononnya atas nama mazhab, memang secara zahir kelihatan seakan-akan khilaf yang terjadi berdiri di atas alasan-alasan ilmiah. Namun sekiranya ditilik secara jujur akan hukuman melampau yang dilemparkan dan sentimen jahat yang dipasangkan, kebanyakannya tidak sepadan dengan alasan khilaf yang berlaku. Ia bersifat melebih-lebih dan melampau-lampau, selektif dan tidak adil.

Justeru apabila hasad itu sudah bersarang, jalan tabayyun sudah tidak lagi menjadi pilihan oleh mereka. Jika berdialog pun bukan untuk tunduk dengan kebenaran. Sebaliknya secara sophistry semata-mata ingin membenamkan pihak yang dihasadkan itu walau dengan apa cara sekalipun.

Kita menanggung 3 masalah;

Masalah yang pertama adalah kejahilan berkenaan hakikat mazhab dan tamazhub yang melanda umat Islam. Kejahilan sedemikian membentuk kelompok ekstrem, sekalipun terkadang  berselindungkan gaya yang lunak. Sama ada ekstrem hingga menjadikan mazhab seakan-akan agama, atau ekstrem hingga menafikan relevansi bermazhab. Kemelampauan inilah yang menerbitkan sentimen serta fanatik yang pasti membunuh budaya ilmu dalam kalangan umat Islam.

Masalah yang kedua adalah, makar musuh Islam yang menjadikan polemik atas nama mazhab sebagai kesempatan untuk mereka menguasai umat Islam. Tiupan sentimen itu berlaku dan ada pasang surutnya. Ini termasuk juga dalam maksud strategi pecah dan perintah.

Masalah yang ketiga adalah, kematangan umat Islam itu sendiri yang tidak cukup terpandu menguruskan masalah-masalah atas nama mazhab secara matang. Sebaliknya mereka lebih memilih sentimen, emosi dan didorong favoritisme, berbanding sikap objektif yang lebih hampir dengan taqwa. Kadang-kadang konsep adab itu semata-mata dijadikan sebagai dalih bagi mewajarkan sikap yang cukup diskriminatif.

Implikasi ke atas masjid

Berbalik kepada ayat 113 surah al-Baqarah yang menceritakan sikap bertelingkah Ahli Kitab, Allah melanjutkan peringatan soal fungsi masjid yang seharusnya dilestarikan:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ أَن يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَا ۚ أُولَٰئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَن يَدْخُلُوهَا إِلَّا خَائِفِينَ ۚ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang dari menyebut nama Allah dalam masjid-masjidNya. Dan berusaha merobohkanNya. Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalamNya kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat seksa yang berat.”

(al-Baqarah: 114)

Masjid seharusnya menjadi tempat perkembangan ilmu serta kesedaran umat yang harus diperanankan oleh semua. Namun apabila pertelingkahan aliran yang hadir dalam segmen ilmu itu semakin meruncing, sudah pasti ia akan memberi kesan kepada masjid.

Sekat menyekat dan adu domba pun berlaku, yang akhirnya memberi kesan kepada pengimarahan budaya ilmu di dalam masjid. Dalam ayat al-Quran di atas, mengingatkan usaha merobohkan masjid. Terdapat juga hadith menjelaskan yang roboh itu bukan bangunannya, tetapi fungsinya.

Politik agama

Manusia disifatkan sebagai Zoon Politikon, iaitu makhluk politik. Selalunya orang akan menganggap politik itu hanya yang membabitkan kepartian semata-mata. Walhal sebenarnya, setiap aspek kehidupan, manusia berpolitik. Sama ada sedar atau tidak, termasuklah yang beria-ia menolak politik. Hakikatnya dia pun sedang berpolitik.

Termasuklah politik agama yang beralasankan aliran, atau mazhab. Sebagaimana dalam politik kepartian ada retoriknya, ada propagandanya, ada fanatismenya dan ada seteru yang perlu dicipta, begitu juga hal yang sama dalam permasalahan konflik aliran yang dibahaskan ini. Justeru, berwaspadalah dengan tipu daya yang tersembunyi di celah-celahnya.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
10 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 10/5/2023

- Advertisement -