KOTA BHARU: Sebelum ini orang awam hanya mengetahui ilmu falak ketika hendak melihat anak bulan bagi mengesahkan kedatangan Ramadan dan 1 Syawal sahaja.
Sedangkan disiplin ilmu tersebut sangat luas termasuk sektor pertanian melalui penyediaan petunjuk, petanda serta panduan bagi menghadapi fenomena alam yang sering berubah.
Ilmu falak membantu umat Islam untuk mengenal pasti petanda dan panduan perubahan cuaca sekaligus membuat persediaan lebih awal untuk menghadapi pelbagai cabaran semasa.
Sehubungan itu kerajaan negeri menjemput Panel Pakar Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hanafiah Abdul Razak untuk berkongsi kepakarannya sempena Karnival Bio-Kelantan bermula esok.
Pensyarah kuliah Kitab Turath Falak Universiti Malaya (UM) itu dijangka menyampaikan pandangannya pada seminar ilmu falak dalam pertanian dan perubahan iklim pada Sabtu ini.
Seminar itu akan diadakan di Dewan Saidina Omar, Aras Satu Dewan Utama, Kompleks Balai Islam Lundang.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, seminar berkaitan ilmu falak diadakan bertujuan memupuk kefahaman ilmu dalam kalangan rakyat.
Katanya juga ilmu falak bukan hanya untuk menentukan puasa dan Hari Raya Aidilfitri sahaja, sebaliknya perubahan fenomena alam seperti yang berlaku sekarang. – HARAKAHDAILY 10/5/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!