Bapa nafi Messi sertai kelab Arab Saudi

Lionel Messi bersama bapanya, Jorge
- Advertisement -

Lionel Messi belum “menandatangani atau bersetuju” perjanjian untuk bermain di Arab Saudi musim depan, kata bapa kepada pemain Argentina itu selepas laporan media semalam, mengaitkan penyerang Paris St Germain (PSG) itu dengan perpindahan ke Timur Tengah.

Masa depan Messi di PSG menjadi subjek spekulasi sejak beberapa hari kebelakangan ini selepas pasukan Ligue 1 itu menggantungnya kerana melawat Arab Saudi dan tidak menyertai sesi latihan.

- Advertisement -

Semalam, media Perancis melaporkan bahawa perpindahan Messi ke Arab Saudi adalah “perjanjian yang telah selesai”, sambil menambah bahawa pemain berusia 35 tahun itu dalam proses memuktamadkan butiran sebelum menandatangani kontrak.

“Tiada apa-apa dengan mana-mana kelab untuk tahun depan. Keputusan itu tidak akan dibuat sebelum Lionel menamatkan liga bersama PSG,” kata bapa Messi, Jorge dalam satu kenyataan di Instagram.

“Apabila musim berakhir, barulah tiba masanya untuk menganalisis dan melihat apa yang ada di luar sana, kemudian membuat keputusan… Kami boleh beri jaminan kepada anda bahawa tiada apa-apa dengan sesiapa pun. Baik secara lisan, tandatangan, mahu pun persetujuan sehingga akhir musim.”

Messi yang meminta maaf kepada PSG dan rakan sepasukannya minggu lalu, kembali menjalani latihan, Isnin lalu.

Sumber yang rapat dengan kapten Argentina memberitahu Reuters bahawa pemain itu telah menerima tawaran rasmi untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal musim depan.

Arab Saudi sebelum ini, melantik Messi sebagai duta pelancongannya tahun lalu dan dia melawat Jeddah pada Mei 2022.

Messi juga ke negara itu pada Januari lalu untuk bermain perlawanan persahabatan bersama PSG menentang pasukan bintang Liga Arab Saudi, apabila dia berdepan `musuh’ lamanya, Cristiano Ronaldo. – REUTERS

- Advertisement -