“Belajar rajin-rajin agar dapat masuk ke mana-mana universiti yang bagus supaya boleh dapat kerja yang bagus-bagus bila dah habis belajar nanti.”
Itu merupakan antara nasihat yang sentiasa diberikan kepada anak-anak yang bukan sahaja dilontarkan dalam kalangan ibu bapa, malah juga juga oleh guru-guru sekolah kepada murid-murid.
Kesannya, keinginan untuk sambung belajar di mahligai gading bagi mendapatkan segulung ijazah menjadi impian generasi muda bagi mencapai cita-cita yang diinginkan.
Maka, kebanyakan generasi muda akan membuat pinjaman pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan seumpamanya.
Namun, sejak berlakunya setiap krisis kewangan termasuklah krisis perumahan 2008, diikuti krisis kewangan di Eropah pada tahun 2010 serta bermulanya wabak penularan Covid-19 pada 2020, menyebabkan kehidupan generasi muda masa kini semakin mencabar.
Ini kerana berlakunya senario kekurangan peluang pekerjaan yang sedia sehingga menyebabkan mereka mengalami waktu yang amat sukar untuk membayar semula pinjaman pendidikan, lebih-lebih lagi ditambahkan lagi dengan kenaikan kos hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Tambahan pula, pinjaman-pinjaman pelajaran tersebut mempunyai kadar faedah yang perlu dibayar semula sehingga menyebabkan setiap peminjamnya wajib membayar lebih daripada jumlah wang yang dipinjam.
Ia menimbulkan satu persoalan utama yang perlu diketengahkan lebih-lebih lagi dalam setiap diri golongan muda, adakah segala pinjaman pendidikan tersebut benar-benar membantu atau hanya memberikan bebanan pada masa hadapan semata-mata?
Menelusuri dan mendalami isu tersebut, ikuti wawancara wartawan HarakahDaily, IKMAL EMIR dengan seorang generasi muda yang juga merupakan penganalisis Pasaran dan Pengasas BigBoys Academy, Mohamad Rizwan Mohd Ramalan.
Beliau merupakan seorang graduan dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dalam Sarjana Perancangan Kewangan Islam.
HarakahDaily: Pada pandangan anda selaku generasi muda, adakah golongan generasi muda sekarang banyak terikat dengan pinjaman pendidikan seperti PTPTN, MARA dan yang seumpamanya?
Rizwan Ramalan: Secara amnya, hampir semua generasi muda yang masuk ke universiti menggunakan pinjaman pendidikan. Menurut data dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pada tahun 2021 sahaja seramai lebih 500,000 orang peminjam PTPTN tidak pernah membuat bayaran balik yang bagi saya merupakan satu jumlah yang besar. Jadi, ia seharusnya menimbulkan satu tanda tanya mengapa boleh terjadi sebegitu.
Mari kita lihat data dari negara maju seperti Amerika Syarikat. Di AS sendiri turut menghadapi pertumbuhan pinjaman pendidikan semakin pesat sehinggakan jauh mengatasi hutang-hutang lain seperti kereta, rumah dan kad kredit.
Ini bermakna hutang ini bersifat mudah untuk diakses, namun susah untuk bebas daripada cengkamannya.
Makai pandangan saya, ini bukan soal mereka tidak mahu bayar seperti didakwa oleh sesetengah pihak, akan tetapi dalam keadaan krisis ekonomi hari ini diikuti dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan berlakunya pembuangan pekerja-pekerja oleh syarikat yang menyebabkan peluang pekerjaan semakin tipis.
Tambahan pula, generasi muda hanya bergantung kepada sijil semata-mata sehingga menyebabkan mereka kekurangan pengalaman.
Ini menambahkan lagi kesukaran untuk mendapat pekerja dan jika ada sekalipun gaji yang ditawarkan tidak setimpal dengan kos sara hidup lebih-lebih lagi di bandar.
Pada pandangan anda, adakah pinjaman pendidikan bagus dan masih relevan untuk golongan muda masa kini?
Bagi saya sebagai golongan muda, pinjaman pendidikan ini tidak lagi relevan kerana hakikatnya adalah sekalipun kita masuk ke universiti dan mengambil segulung ijazah, akhirnya masih tidak mampu untuk memberijkan gaji yang cukup untuk survival.
Jadi bagaimana pula nak bayar balik pinjaman-pinjaman kewangan? Malah, saya mempunyai seorang sahabat yang berhenti sambung belajar di universiti, namun masih berjaya mendapatkan pekerjaan terbaik serta gaji yang tinggi di institusi bank yang ternama di dunia.
Ini jelas membuktikan bahawa mana-mana sijil ijazah sudah tidak membuktikan apa apa yang bernilai pada pandangan saya kerana yang memberi nilai pada pasaran adalah kesedaran dan kompetensi diri.
Contohnya, apa yang kita tahu dan apa kemahiran yang kita ada yang boleh kita pelajari bagi mendapat sumber kewangan walau apa pun serta siapa yang kita kenal (contact lists).
Jadi, katakan nak guna pinjaman sekalipun, adalah lebih bagus jika digunakan untuk sertai seminar seminar tempat di mana generasi muda bukan sekadar mendapat ilmu, tetapi juga disertai dengan pengalaman sebenar (hands on experience) yang lebih praktikal serta membina kenalan-kenalan baru untuk masa depan.
Tambahan pula, dengan kewujudan teknologi seperti Google, YouTube, Facebook dan TikTok, dunia pendidikan kini menjadi semakin luas jika berbanding dengan dahulu yang hanya berpandukan sekolah dan perpustakaan semata-mata.
Adakah pinjaman pendidikan merupakan hutang No. 1 paling berisiko berbanding bentuk pinjaman-pinjaman lain?
Dalam keadaan kegawatan ekonomi terkini, pinjaman ini menjadi lebih berisiko dan berbahaya berbanding pinjaman-pinjaman lain. Ia mungkin menjadi bak ‘pisau yang menikam berbanding pisau untuk memasak’.
Buktinya, generasi ini telah masuk universiti, dapat ijazah namun masih tidak berjaya mendapatkan pekerjaan yang setanding untuk menampung kos sara hidup seperti yang saya katakan tadi.
Kesannya, baru mereka nak mulakan hidup tetapi sudah mempunyai hutang puluhan ribu yang ternyata amat membebankan.
Mengapa golongan golongan muda tidak diberi panduan untuk mengelakkan banyak berhutang sebelum mendapat pekerjaan impak daripada sistem pinjaman di negara ini? Adakah sistem pendidikan di Malaysia yang sebenarnya bermasalah?
Menarik soalan ini, hakikatnya sistem pendidikan hari ini tidak lagi sesuai (dengan senario semasa) kerana ia hanya mendidik generasi muda untuk mendapatkan gred yang baik supaya mendapat kerja yang baik, sedangkan peluang pekerjaan semakin berkurangan atau gaji tidak setanding dengan kos sara hidup.
Tambahan pula, masalah ini juga adalah kesan daripada kegagalan sistem pendidikan itu sendiri dalam perubahan dunia termasuklah dunia sekarang yang menuju ke arah dunia digital.
Bukan itu sahaja, dengan penciptaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence), robotik dan automasi (automation) akan perlahan-lahan menggantikan penggunaan tenaga pekerja sedikit demi sedikit.
Kesannya, hanya beberapa jawatan kosong sahaja yang ditawarkan dan itu pun hanya untuk menjaga teknologi-teknologi sebegini.
Saya tidak menafikan bahawa ada ilmu yang tidak terikat dengan peredaran masa (timeless knowledge) – yang menyaksikan pendidikan kewangan lebih-lebih lagi mengenai hutang merupakan satu daripadanya kerana ia amat mengajar kita untuk keluar daripada setiap belenggu hutang walau apa pun jenis hutang itu.
Namun, pendidikan tersebut tidak akan diajar di mana-mana sekolah dan institusi pendidikan di negara ini, dan itulah masalah utama yang kita hadapi sekarang.
Apakah golongan muda boleh buat jika mereka masih mahu melanjutkan pelajaran ke mana-mana Institusi pendidikan tanpa perlu berhutang?
Nasihat saya kepada golongan muda, sesiapa yang dapat gred yang baik, terlebih dahulu saya ucapkan tahniah dan saya nasihatkan mereka boleh memohon biasiswa dari Yayasan, MARA dan seumpamanya.
Jika tidak mampu juga, mereka tidak perlu ke institusi pun kerana mereka boleh sambung belajar melalui kelas-kelas dalam talian seperti Google, YouTube, serta menyertai seminar baik secara offline ataupun online.
Seperti yang telah saya katakan tadi, dunia hari ini tidak sama seperti 20 hingga 30 tahun yang lalu kerana dalam dunia digital, guru-guru online semakin ramai yang boleh kita sertai kelasnya sama ada secara percuma mahupun berbayar tetapi dengan satu sahaja syarat, iaitu kena pilih dengan amat teliti.
Ada sebarang nasihat yang dapat anda berikan kepada golongan generasi muda masa kini berkait dengan isu melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan?
Bagi saya, daripada menggunakan duit (antara pinjaman atau tunai) untuk sambung belajar ke institusi pendidikan, lebih baik gunakan duit tersebut untuk sertai seminar seminar secara tunai.
Ini kerana generasi muda akan mendapat lebih banyak kemahiran yang praktikal, pengalaman dan juga paling penting adalah kenalan dan rangkaian bahasru yang boleh dimanfaatkan untuk masa depan.
Lebih-lebih lagi dengan teknologi zaman sekarang yang semakin maju, kita juga boleh belajar pelbagai kemahiran seperti perniagaan sendiri secara kecil-kecilan termasuklah belajar kemahiran pemasaran seperti closing, trading dan network effect yang jika dibuat betul-betul bukan sekadar menembusi pasaran lokal tetapi juga dapat menembusi pasaran global.
Dengan cara sebegini, kita tidak akan bergantung kepada satu sahaja sumber pendapatan atau kerja makan gaji semata-mata yang pada masa sama dapat meningkatkan ekonomi kewangan kita sendiri.
Bagaimanapun, saya ingin meletakkan satu perkara yang merupakan perkara pertama yang amat penting bagi melakukan segala demikian iaitu jangan sesekali ambil mana-mana hutang termasuklah pinjaman pelajaran dan kad kredit walau apa pun.
Ini kerana hutang-hutang sebegini memang menarik minat golongan muda lebih-lebih lagi apabila diuji dengan trend kehidupan tetapi ia akan mengikat kita dengan kadar faedah (riba) yang menyebabkan kita tidak mempunyai kebebasan untuk berfikir dan bertindak.
Memang saya tidak menafikan ada sahaja golongan muda yang jenis disiplin bayar setiap hutang kad kreditnya tepat pada masanya walau apa pun.
Bagi saya, amat sedikit golongan muda sebegitu kerana ramai golongan muda muflis akibat tidak mampu mengawal perbelanjaan kad kredit.
Itu pesanan saya kepada golongan muda dan boleh jadikan apa yang saya kongsi ini sebagai panduan walau apa pun supaya bijak mengambil keputusan yang sepatutnya. – HARAKAHDAILY 9/5/2023