KOTA BHARU: Peranan perkhidmatan awam sekarang lebih mencabar dan kompetitif berbanding era sebelum ini.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, situasi itu dapat dilihat kesan pandemik Covid-19 sehingga banyak merubah cara berfikir, bertindak dan melaksanakan dasar kerajaan.
“Situasi itu menuntut harapan yang tinggi daripada segenap pihak ke atas prestasi dan pencapaian perkhidmatan awam.
“Dan ia memerlukan persediaan secara holistik termasuk dalam aspek psikologi,” katanya pada perasmian Konvensyen Psikologi Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Kota Darulnaim hari ini. (Foto atas)
Menurutnya juga kesejahteraan psikologi perlu diberi keutamaan dalam usaha membangun sumber manusia yang seimbang aspek kognitif, emosi, tingkah laku dan spiritual.
Kata beliau ia juga dapat beradaptasi segera dengan perubahan dalam kerangka membangunkan negeri dengan lebih optimum dan holistik.
Katanya juga dunia sekarang dibentuk oleh landskap ketidaktentuan dan diasak gelombang cabaran silih berganti.
“Berdasarkan dapatan kajian ia menjadi penanda aras kepada keprihatinan kerajaan bagi menangani isu kesejahteraan psikologi,” ujarnya.
Katanya, kesejahteraan psikologi sangat penting dalam usaha memacu kecemerlangan insan kerana ia berupaya mempengaruhi peranan individu dalam masyarakat.
“Maka, kita perlu mendapatkan bantuan dan ilmu berkenaan penjagaan dan kesihatan mental, agar kita dapat memelihara kesihatan akal melalui cara yang betul.
“Kadangkala apabila timbul suatu perasaan gelisah dan tidak tenteram di dalam hati, kita berusaha siang dan malam untuk mencari penawar bagi mengubat keresahan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!