Neymar bersedia untuk meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada musim panas ini walaupun kontraknya bersama kelab Perancis itu masih berbaki empat tahun.
Sumber memberitahu ESPN, pada masa sama kelab itu bersedia untuk melepaskannya jika tawaran yang tepat menjadi kenyataan.
Juara Ligue 1 itu cuba mencarikan kelab baharu untuk Neymar pada musim panas lalu, tetapi tidak mendapat sebarang tawaran konkrit untuk pemain nombor 10 mereka.
Pemain antarabangsa Brazil yang berusia 31 tahun pada Februari lalu sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan buku lali, sebelum ini tidak mahu meninggalkan ibu kota Perancis, tetapi sumber berkata. dia telah mengubah fikirannya dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini dan kini bersedia meninggalkan PSG.
Minggu lalu, kira-kira 50 ultra PSG muncul di kawasan rumah Neymar, menuntut dia meninggalkan kelab itu. Sumber berkata Neymar telah berubah hati untuk terus kekal di Paris, selain tidak berasa dialu-alukan lagi dan berpendapat bahawa adalah lebih baik untuk bermain di tempat lain musim depan.
Sumber berkata, Neymar lebih suka berpindah ke Liga Perdana Inggeris yang mempunyai beberapa pasukan yang mampu membayar gajinya sebanyak €40 juta setahun dan menampung yuran perpindahan yang besar.
PSG membayar Barcelona klausa pelepasan €222 juta pada musim panas 2017 untuk membawa Neymar ke Parc des Princes. Kelab Paris itu juga sedia menerima struktur perjanjian dengan pinjaman, termasuk pilihan untuk membuat sebarang perpindahan kekal jika ia akan membantu menggerakkan pemain itu.
Pengerusi PSG, Nasser al Khelaifi bertemu pemilik baharu Chelsea, Todd Boehly pada Februari lalu untuk membincangkan kemungkinan perjanjian untuk Neymar antara kedua-dua kelab.
Kedua-duanya telah bercakap sejak itu mengenai Neymar, menurut sumber yang menambah bahawa Boehly adalah peminat besar Neymar dan ingin melihatnya di Stamford Bridge.
Neymar tidak akan mempertimbangkan untuk kembali ke negara asalnya, Brazil pada masa ini, dan tidak mahu bermain untuk mana-mana kelab di Sepanyol selain Barcelona, yang tidak mempunyai rancangan untuk menerima kembali pemain bintang itu. – ESPN