Majoriti lombong haram di negeri lain, bukan Kedah

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menafikan bahawa Kedah antara negeri yang paling banyak tapak perlombongan haram.

Menurutnya, 60 lombong haram yang disebutnya ketika Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) semalam bukan hanya tertumpu di Kedah, sebaliknya di seluruh negara.

- Advertisement -

Malah, katanya perkara itui diakui benar oleh Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim (KetSA) dalam mesyuarat berkenaan.

“Mereka yang terlibat dengan perlombongan haram di Kedah sebelum ini sudah dicekup (ditangkap) dan didakwa. Maknanya yang masih banyak itu bukanlah di negeri ini (Kedah) sebaliknya di negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, beliau juga tidak boleh didakwa kononnya mendedahkan rahsia sulit negara, sebalik menjadi kewajipan untuk membetulkan maklumat salah yang ditularkan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam sidang akhbarnya mendakwa 60 tapak perlombongan haram di negara ini yang kebanyakannya melibatkan nadir bumi paling banyak di Kedah, malah dakwaan itu katanya diakui Menteri Besar Kedah sendiri dalam mesyuarat tersebut.

Andai dakwaan berkenaan betul, Menteri Besar berkata, sudah tentu semua ‘pakar geologi dan pakar lombong’ Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) sudah ‘raya sakan’ sebelum puasa (Ramadan) lagi menghentam kerajaan negeri.

“Sebab maklumat itu salah, saya kena perbetulkan. Oleh itu Jangan tuduh saya dedah rahsia negara pula,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 9/5/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!