Dibelenggu industri hutang: PN ikrar bantu rakyat

Muhyiddin (tiga dari kiri) dan Razali (dua dari kiri) dalam Majlis Bersatu Beraya bersama Media di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada hari ini, 8 Mei 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) berikrar akan berjuang untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang khususnya di Selangor demi untuk membela nasib rakyat yang kini dibelenggu kemiskinan akibat daripada ketamakan industri hutang di negara ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, Selangor merupakan negeri yang mempunyai kekayaan yang tinggi dan mampu membantu negeri-negeri miskin di negara ini yang memerlukan bantuan kewangan.

- Advertisement -

“Kita masih lagi belum keluar daripada frasa kemelesetan ekonomi impak pandemik Covid-19,  dan keadaan masih tidak berubah walaupun Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pemerintahan negara ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Bersatu Beraya bersama Media di Wangsa 118, Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.  

Razali turut menyatakan kekecewaannya terhadap kerajaan terkini yang masih tidak mampu menyelesaikan masalah kewangan ekonomi negara dengan baik.

Bukan itu sahaja, beliau juga menyatakan semakin kecewa dengan sifat pemerintahan PH yang langsung tidak memfokuskan ekonomi rakyat secara menyeluruh tetapi lebih kepada agenda politik peribadi semata-mata.

Muhyiddin dan Razali sedang beramah mesra dengan wakil media yang hadir dalam Majlis Bersatu Beraya bersama Media. (FOTO: HARAKAHDAILY)

“Lihat sahaja apabila ditanya mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), cara Menteri Ekonomi, Datuk Rafizi Ramli menjawab juga menimbulkan keraguan.

“Beliau (Rafizi) hanya berkata rakyat tidak terkesan dengannya (kenaikan OPR) tetapi hakikatnya lihat sendiri kesannya, rakyat semakin tertekan dengan kenaikan hutang rumah dan kos hidup,” ujarnya.

Razali juga melihat bahawa tindakan Menteri Ekonomi tersebut yang mengelak daripada memberi respons terhadap isu ekonomi lain termasuklah kerakusan industri hutang dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sebagai tindakan yang jelas mementingkan politik semata-mata.

“Oleh sebab itu, kami (PN) perlu menang dalam PRN ini supaya dapat bantu dalam menyelesaikan masalah isu kemiskinan rakyat termasuklah mengenai riba.

“Perkara ini sendiri pun adalah jaminan yang perlu kami laksanakan kepada rakyat walau apa pun kerana kami sendiri yang akan menanggung akibatnya jika tidak melakukan demikian,” katanya.

Razali menegaskan Perikatan Nasional akan berjuang untuk menang PRN akan datang demi membantu rakyat yang kini sedang dibelenggu industri hutang negara. (FOTO: HARAKAHDAILY)

Dalam pada itu, beliau juga berkata Bersatu mengesahkan bahawa proklamasi Orang Melayu yang telah ditandatangani tiga pemimpinnya sebelum ini tiada kaitan dengan PRN dan bukan mewakili parti itu, tetapi sebagai individu.

“Kami tandatangani (proklamasi) itu  hanya sebagai individu dan tiada perbincangan mengenai kerusi parti Gerakan Tanah Air (GTA) untuk PRN kelak. 

Terdahulu, laporan media sebelum ini menyebut bahawa tiga pemimpin Bersatu turut menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri dan Pengerusi GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – HARAKAHDAILY 8/5/2023

- Advertisement -