KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan Syabas kepada Safwa Zamri, 19, yang menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize.
“Sebagai pelajar tajaan Yayasan Terengganu, kerajaan negeri amat berbangga dengan pencapaian Saudari Safwa.
“Moga terus maju ke depan dan jadi inspirasi kepada orang lain,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Safwa yang merupakan ‘hafizah’ adalah pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus menduduki tempat kedua peringkat dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bagi sesi Mac lepas.
Bernama melaporkan, Safwa menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize bagi kertas ‘FA1-Rekod Transaksi Kewangan’ dengan memperoleh markah 98 peratus, sekali gus berada pada kedudukan pertama di Malaysia.
Safwa berkata beliau tidak mempunyai asas pengajian perakaunan kerana mengambil aliran sains tulen dan hafazan (agama) ketika belajar di Sekolah Menengah Imtiaz Besut.
Beliau memperoleh keputusan 12A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran ketika berada di tingkatan dua iaitu selepas dua tahun menghafaz al-Quran.
Menurutnya, ketika mahu menyambung pelajaran ke UiTM, ibu bapanya mencadangkan supaya dia memilih jurusan perakaunan kerana sesuai dengan kebolehannya, selain memang minat matematik.
“Empat adik-beradik saya lulusan perubatan dan kejuruteraan, jadi biar ada seorang dalam bidang perakaunan,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Pengkalan Kubur, Besut.
Safwa bertekad memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan ACCA, walaupun baru enam bulan belajar tentang perakaunan.
“Ketika mula belajar akaun, saya sedikit buntu tapi saya atasinya dengan kerap membuat latihan dan ulang kaji hingga akhirnya timbul minat terhadap bidang itu,” kata anak kepada pasangan guru, Zamri Mohd Amin dan Rashidah Ab Rahman. – HARAKAHDAILY 7/5/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!