Seorang lelaki maut akibat kecederaan terkena tembakan dan tujuh orang cedera di Naples ketika bandar selatan Itali itu berpesta meraikan kejayaan Napoli.
Pesta bermula lewat Khamis selepas pasukan Napoli memenangi kejuaraan Serie A pertama dalam tempoh 33 tahun berikutan keputusan seri 1-1 di tempat lawan di Udinese.
Beberapa jam kemudian, seorang lelaki maut akibat kecederaan terkena tembakan, tetapi kejadian itu “tiada kaitan dengan perayaan itu”, kata Pengawas Naples, Claudio Palomba kepada radio awam RAI.
Mengikut agensi berita ANSA dan agensi berita Itali lain, rakan-rakan dan saudara-mara mangsa merosakkan bilik kecemasan tempat dia dirawat.
Palomba berkata, polis sedang menyiasat kematian itu sambil menambah bahawa daripada tujuh orang yang cedera pada waktu malam, ada yang mengalami kecederaan akibat bunga api.
Pesta liar dijangka diadakan secara meluas di Naples hasil kemenangan gelaran “Scudetto” dan pihak berkuasa telah mengambil beberapa langkah untuk cuba membendung risiko kepada ketenteraman awam.
Pusat bandar hanya boleh dilalui pejalan kaki, manakala bunga api dan mercun diharamkan, tetapi itu tidak menghalang penduduk Naples meraikan kejuaraan itu dengan dua barangan terbabit sepanjang malam. – REUTERS