Kadar faedah 4%, harga rumah jadi RM600,000

Tan Gua Han
- Advertisement -

PETALING JAYA: Hanya dengan menggunakan kadar faedah standard serendah empat peratus sahaja, harga rumah boleh naik dari harga asal RM300,000 kepada RM600,000.

Itu kenyataan yang diberikan oleh Tan Gua Han, seorang pakar hartanah dalam perkongsian akaun TikTok miliknya, GH Tan mengenai isu kenaikan harga rumah baru-baru ini.

- Advertisement -

Beliau yang juga merupakan pengasas syarikat pembinaan Sonicon Construction menyatakan walau apa jua kadar faedah dikenakan dalam pinjaman rumah, ia  tetap memberikan bebanan yang tinggi kepada peminjam.

“Katalah anda buat pinjaman beli rumah sebanyak RM300,000, yang mana kadar faedahnya sekurang-kurangnya 4% dengan bayaran ansuran sebanyak RM1,300 setiap bulan selama 35 tahun.

“Dalam satu tahun, anda sepatutnya hanya perlu bayar sebanyak RM15,600 (RM1,300 darab 12 bulan) tetapi apabila anda juga kena bayar kadar faedah (sebanyak 4%) dan untuk mengiranya adalah pinjaman rumah RM300,000 darab 4% iaitu bersamaan RM12,000 (setahun),” jelasnya.

Beliau menerangkan kesannya dalam tempoh setahun pertama itu, peminjam hanya baru membayar hutang pokok sebanyak RM3,600 (RM15,600 tolak RM12,000) kerana bank telah mengambil untung daripada kadar faedah tersebut.

“Jadi, tahun seterusnya hutang rumah yang anda  perlu bayar adalah sebanyak RM296,400 tetapi jangan lupa kena darab dengan kadar faedah 4% juga,” katanya.

Beliau menjelaskan dengan pembayaran ansuran bulanan yang sama iaitu RM15,600 setahun, setelah ditolak kadar faedah RM11,856, maka jumlah hutang pokok yang baru dibayar hanyalah RM3,744.

“Bila anda sentiasa lalui proses pembayaran hutang tersebut secara berulang diikuti dengan kadar faedahnya setiap tahun, itu yang menyebabkan hutang rumah anda semakin meningkat,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa perkara sebegini telah merugikan pembeli rumah, termasuklah yang jenis bayar hutang rumah tanpa lambat sedikit pun.

Apabila ditanya mengenai langkah yang boleh diambil bagi masalah tersebut, beliau menyatakan bahawa sebaik-baiknya dengan menambah sedikit ansuran bulanan pinjaman tersebut.

“Dalam ansuran bulanan RM1,300 tadi, katakan anda  tambah sedikit seperti RM100, RM200 dan seumpamanya, agar ia dapat mengurangkan sekurang-kurangnya empat tahun daripada tempoh keseluruhan 35 tahun.

“Ini hanya dapat dilakukan jika anda \ambil pinjaman rumah jenis semi-fleksi dan fleksi sahaja tetapi untuk jenis konvensional boleh minta dengan pihak bank untuk menukar sedikit perjanjian pembayaran untuk melakukannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2023

- Advertisement -