Sindiket penipuan bomoh antarabangsa tumpas

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket penipuan bomoh antarabangsa yang membabitkan kerugian RM124,400 dengan penahanan lima warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lepas.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata penahanan dilakukan susulan pihaknya menerima laporan daripada lima wanita warga emas di negeri ini yang mendakwa menjadi mangsa sindiket itu.

“Kesemua warga asing yang terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita berusia 40 hingga 50 tahun itu ditahan ketika mahu melarikan diri pulang ke negara asal (China). Berdasarkan rekod perjalanan, mereka didapati telah beberapa kali masuk dan keluar dari negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Siasatan mendapati mereka aktif sejak Januari lepas dengan memperdaya mangsa dalam urusan penjualan ubat serta sembahyang yang boleh mengubati penyakit secara bersemuka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu ialah mereka akan bergerak awal pagi untuk mencari mangsa warga emas terutama wanita dan berbual kononnya tahu warga emas itu menghidap penyakit sebelum menawarkan ubat bagi merawat penyakit kronik serta memberikan nombor telefon untuk urusan rawatan tersebut.

Fisol berkata mangsa yang percaya, kemudian menghubungi sindiket itu untuk berubat sebelum suspek menetapkan lokasi tertentu kononnya bagi menjalankan upacara jampi dan rawatan yang hanya berlangsung dalam kenderaan.

Beliau berkata selepas upacara selesai, suspek akan menyerahkan semula bungkusan mengandungi barang kemas, wang dan sejumlah emas milik mangsa namun kandungan bungkusan sudah ditukar oleh suspek yang menyebabkan mangsa mendapati bungkusan itu mengandungi batu bata dan air mineral selepas bungkusan dibuka beberapa hari kemudian.

Katanya mangsa yang menyedari ditipu selepas membuka bungkusan itu kemudian membuat laporan polis dan berdasarkan siasatan, sindiket itu mempunyai beberapa kumpulan lain yang disyaki menjalankan kegiatan yang sama.

“Polis tidak menolak kemungkinan lima suspek yang ditahan ini turut terlibat kes penipuan sama di Johor.

“Susulan penahan mereka, polis turut merampas sembilan telefon bimbit, lima bagasi, pelbagai barang kemas, 11 jam tangan pelbagai jenama dan 943 keping wang tunai mata wang yuan berjumlah RM60,853,” katanya dan menambah mereka direman hingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurut Fisol, sejak 2021 hingga April tahun ini, kontinjen Pulau Pinang menerima 13 laporan berkaitan penipuan bomoh membabitkan kerugian RM1.03 juta, justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan wang atau barangan kemas kepada orang tidak dikenali serta menghubungi polis jika didekati individu mencurigakan. – BERNAMA

- Advertisement -