KUALA LUMPUR: Cadangan supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada pihak majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini, dikhuatiri bakal membebankan majikan dan menjejaskan ekonomi negara.
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Salamiah Mohd Nor berkata, dari sudut jangka masa panjang, tidak dinafikan bahawa saranan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu dilihat dapat memberi impak positif terhadap golongan pencarum.
“Secara automatik (jika kadar caruman majikan dinaikkan kepada 20 peratus), dana atau tabungan masa hadapan pencarum akan meningkat dan akan memberikan jaminan yang lebih kepada pencarum selepas usia 50 tahun ke atas, yang mana mereka sudah mampu mengeluarkan caruman mereka apabila bersara nanti,” katanya kepada HarakahDaily.
Anwar dalam kenyataannya ketika merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam berkata, cadangan kadar caruman KWSP bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus perlu dibincangkan terlebih dahulu dan akan dibawa kepada jemaah menteri.
Namun, Salamiah bagaimanapun berkata, berkemungkinan besar tidak akan ada majikan yang bersetuju dengan cadangan Anwar itu.
“Hal ini kerana kenaikan caruman itu memberikan bebanan kepada majikan, firma atau syarikat yang berlipat kali ganda.
“Kita lihat cadangan menaikkan caruman daripada majikan terhadap pekerja sebanyak 20 peratus itu adalah sangat tinggi berbanding cadangan sebelum ini adalah 13 peratus sahaja,” ujarnya.
Menurutnya, dalam masa yang sama juga ia akan mendorong kepada peningkatan kos operasi, bukan sahaja gaji pekerja tetapi dalam bentuk sumbangan kepada kebajikan pekerja akan meningkat.
“Sumbangan kebajikan ini telah menjadi paksaan, secara tidak langsung akan memberikan tekanan kepada majikan,” tegasnya.
Justeru, Salamiah turut mempersoalkan andainya keputusan Perdana Menteri itu dipersetujui suatu hari nanti, apakah tindakan yang akan dilakukan oleh majikan?
“Sudah pastinya, secara tidak langsung, golongan majikan akan mengurangkan pengambilan pekerja seberapa minima mungkin untuk mengelakkan peningkatan kos operasi yang tinggi.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Temerloh turut memberitahu, selain pengurangan pekerja yang dilakukan oleh majikan, dalam masa yang sama juga, ada majikan yang akan mengambil kesempatan untuk tidak mendaftarkan pekerja-pekerja yang mereka ambil berkhidmat untuk mencarum dalam simpanan KWSP.
“Oleh itu, ia akan memberikan risiko kepada para pekerja tersebut sekiranya majikan itu tidak membuat pemotongan KWSP,” katanya
Tambah beliau, sehingga kini ramai majikan di Malaysia yang tidak mendaftarkan pekerja mereka untuk mengelakkan pemotongan caruman ini.
“Dalam masa yang sama juga, apabila kita tahu saranan pihak kerajaan agar pihak majikan membuat caruman 20 peratus untuk pekerja, majikan akan berusaha mencari pelbagai helah untuk tidak mendaftarkan pekerja di syarikat atau firma mereka.
“Kita juga turut mengetahui bahawa kos yang meningkat dalam bentuk pengeluaran iaitu syarikat yang menghasilkan produk, kita pasti bahawa ia (kenaikan kadar caruman KWSP majikan) akan meningkatkan kos operasi dan di manakah ia akan dialihkan?
“Sudah pastinya, mereka akan mengalihkan kos peningkatan operasi pengeluaran barang terhadap kos harga barang,” hujahnya.
Beliau turut menegaskan, kesan terakhir turut dirasai oleh pengguna kerana peningkatan dengan cara caruman ini secara tidak langsung sebenarnya meningkatkan kos operasi.
“Dalam masa yang sama juga, ia akan mendorong kepada peningkatan harga barang. Jadi, perkara ini bukannya satu jalan penyelesaian sebenarnya.
“Saya yakin dan pasti apabila hal ini dibangkitkan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) yang menggesa kerajaan untuk menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan sudah pastinya, ia akan memberikan tekanan kepada golongan majikan.
“Jangan lupa bahawa apabila melibatkan ramai pekerja, kita bimbang ada pemodal-pemodal yang cuba melarikan modal mereka ke luar negara.”
“Oleh itu, kita seharusnya berfikir panjang dalam keadaan ekonomi yang lembap pada masa ini dan didorong oleh peningkatan kos kepada pengeluar, sudah pastinya ia akan menjejaskan ekonomi negara Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/5/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!