Rel kereta api pisahkan dua kampung berdekatan

- Advertisement -

TUMPAT: Penduduk Kampung Kok Keli yang mahu ke Kampung Kok Pasir atau sebaliknya terpaksa melalui jalan agak jauh memandangkan kedua-dua kampung dipisahkan landasan kereta api.

Lebih 5,000 penduduk dari kedua-dua kampung terpaksa melalui Kampung Laut yang mengambil masa 20 minit untuk ke laluan utama ke Kota Bharu atau tempat-tempat lain.

- Advertisement -

Bagaimanapun, kesukaran itu dijangka dapat diatasi apabila laluan bertingkat akan dibina kerajaan merentasi rel kereta api tidak lama lagi.

Jalan bertingkat sepanjang 400 meter akan dibina melintasi rel kereta api. Apabila siap kelak, penduduk tidak perlu lagi melencong ke Kampung Laut untuk ke jalan utama.

Projek itu di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya dan Vertex Central Industries Sdn Bhd bernilai RM22.7 juta dan dijangka siap pada April 2025.

Penghulu Mukim Kok Pasir, Zakaria Yasad berkata, lebih 5,000 penduduk sekarang terpaksa melalui laluan yang jauh untuk jalan utama.

Menurutnya dengan pembinaan laluan bertingkat itu bakal memberi kemudahan kepada penduduk dan dapat mengurangkan tempoh perjalanan ke Kota Bharu atau tempat-tempat lain.

Rel kereta api yang memisahkan Kampung Kok Keli dan Kampung Kok Pasir

“Laluan sekarang agak jauh, biasanya ikut Kok Keli melalui Kampung Laut, kena pusing dalam 20 minit untuk ke jalan utama.

“Dengan adanya laluan baharu dapat menjimatkan tempoh perjalanan penduduk tanpa perlu melencong ke kampung lain,” katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas lawatan tapak oleh Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi; Pengarah JKR negeri, Ir Suhaili Ismail dan Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah.

Turut hadir Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan; Adun Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah dan Pegawai Khas Menteri Besar, Mohd Hushaimi Hussian. – HARAKAHDAILY 1/5/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!