Noorazlan ‘potong kos’ sambut Aidilfitri

Noorazlan menafikan keadaan ekonominya semakin baik seperti disangka ramai selepas tindakan nekadnya berjalan kaki dari Skudai, Johor ke Istana Negara, Kuala Lumpur pada Mac lepas.
- Advertisement -

Masih ingat dengan seorang pemandu teksi yang sanggup berjalan kaki selama enam hari sejauh 340 kilometer dari Skudai, Johor ke Istana Negara, Kuala Lumpur pada akhir bulan Mac lalu?

- Advertisement -

Tindakan nekad Noorazlan Ismail, 49, itu adalah sebagai respons terhadap polisi kerajaan tidak membenarkan pencarum membuat pengeluaran khas wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sedangkan rakyat marhaen sepertinya tersepit dan sangat memerlukan dana kewangan untuk menampung rutin harian kehidupan.

Isu tersebut telah menjadi antara topik utama yang bukan sahaja dibahas dalam Persidangan Dewan Rakyat tetapi juga dalam Persidangan Dewan Negara dan kebanyakan masyarakat.

Persoalannya, apakah tujuan sebenar yang mendorong Noorazlan untuk melakukan perkara sedemikian?

Bersempena ketibaan Hari Raya Aidil Fitri yang mula diraikan umat Islam pada Sabtu, 22 April lalu, bagaimana agaknya Noorazlan dan keluarganya meraikan sambutan Syawal dalam keadaan yang serba kekurangan dan mencabar dari segi ekonomi?

Ikuti wawancara wartawan HarakahDaily, IKMAL EMIR dengan bapa tujuh anak yang kini menetap di Skudai, Johor yang senang disapa dengan panggilan pakcik ini.

HARAKAHDAILY: Bagaimana situasi ekonomi pakcik pada masa ini, lebih-lebih lagi ketika waktu perayaan Aidilfitri?

NOORAZLAN: Keadaan ekonomi saya masih terkawal tetapi tetap mencabar memandangkan kami sekeluarga masih memerlukan wang, namun orang ramai masih salah sangka bahawa ekonomi saya semakin bagus selepas melakukan tindakan berjalan kaki dari Johor Bahru ke Istana Negara, Kuala Lumpur pada Mac lepas.

Hakikatnya, kami masih lagi tengah bergelut dari segi kewangan dan bila tiba Hari Raya Aidilfitri pula, keadaan kami masih tidak berubah seolah-olah Perdana Menteri (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) tidak ambil tahu pun keadaan sebenar rakyat.

Ini jelas membuktikan bahawa tanggapan orang ramai yang fikir bahawa keadaan  ekonomi saya ini semakin bagus adalah tidak benar sama sekali.

Buktinya, saya sekeluarga yang menyambut raya terpaksa berbelanja secara berhemah dan ‘potong kos’ kerana harga barang di Johor Bahru makin meningkat.

Sedangkan orang-orang yang bekerja kerajaan pun mengeluh dengan kenaikan harga barang ketika musim perayaan Aidilfitri, inikan pula saya yang hanya bekerja sebagai pemandu teksi ini.

Namun sekurang-kurangnya, alhamdullillah saya masih dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan masih dapat membeli pakaian raya, terutama untuk anak-anak perempuan saya yang masih remaja.

Bagi saya, itu perkara yang paling bermakna kerana tiada apa yang lebih penting daripada menyambut raya bersama-sama dengan anak-anak saya.

Noorazlan merayu kerajaan agar melihat dengan prihatin terhadap realiti kesukaran hidup rakyat marhaen seperti dirinya ini. (FOTO: Ihsan Noorazlan Ismail)

Apakah perasaan pakcik  ketika menyambut Aidilfitri pada tahun ini?

Memang tidak nafikan, saya sangat gembira kerana dapat menyambut raya kali ini bersama-sama dengan anak-anak saya.

Alhamdullillah, saya juga dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah ibu saya dengan saudara-mara, dan ia sesungguhnya memang amat menyeronokkan.

Namun, kegembiraan itu hanya bersifat sementara kerana saya masih menghadapi stres mengenai kewangan, yang mana hutang merupakan masalah utamanya.

Bila kita beraya, stres hutang itu hilang sekejap tetapi apabila saudara-mara semua dah pulang ke rumah masing-masing perasaan stres itu muncul semula. 

Puncanya kerana dulu saya mempunyai kerja sebagai pemandu peribadi yang dibayar gaji bulanan.

Namun, apabila majikan saya telah menutup semua perniagaannya di Johor Bahru, saya terpaksa bekerja sebagai pemandu teksi persendirian, dan ia sangat mencabar, lebih-lebih dengan faktor umur saya yang semakin meningkat.

Dengan pekerjaan saya sebagai pemandu teksi yang hanya bergaji antara dua hingga tiga ribu ringgit sebulan sahaja, ia menyebabkan saya menghadapi kesukaran untuk ‘menutup’ (melunaskan) hutang-hutang sedia ada.

Ia menyebabkan kami sekeluarga turut terkesan dengan kenaikan kos kehidupan juga lebih-lebih lagi ketika menyambut Aidilfitri kali ini.

Saya tumpang simpati dengan keadaan ekonomi pakcik itu, tetapi bagaimanakah pakcik boleh terfikir untuk  berjalan kaki dari Skudai, Johor ke Istana Negara, Kuala Lumpur pada Mac lalu itu?

Sebenarnya saya tidak terfikir untuk melakukan perkara sedemikian pada mulanya, sehinggalah setiap kali saya melihat setiap persidangan parlimen mengenai usul pengeluaran KWSP, banyak juga yang ditolak oleh kerajaan.

Selama ini, saya ikuti perkembangan parlimen dan juga badan bukan kerajaan (NGO) mengenai isu berkenaan tetapi masih menemui jalan buntu memandangkan kerajaan tetap bertegas untuk bertindak sedemikian (tidak membenarkan pencarum mengeluarkan wang KWSP masing-masing).

Jadi, ia membuatkan saya berfikir untuk berjalan kaki dari Skudai ke Istana Negara Kuala Lumpur kerana hanya ada satu sebab,  iaitu mahu menunjukkan realiti kesusahan saya sebagai rakyat biasa di negara ini.

Tambahan pula, selama ini saya terlalu sibuk dengan urusan kerja sehingga anak-anak turut terabai.

Jadi, saya memang perlukan sangat pengeluaran wang KWSP untuk membayar segala hutang sedia ada, supaya saya dapat menikmati masa berkualiti dengan keluarga.

Saya juga tidak mahu menyusahkan anak-anak dengan bebanan hutang-hutang saya itu, jadi itulah sebab saya perlukan sangat  kerajaan pertimbangkan semula pengeluaran khas wang KWSP untuk rakyat yang sangat terdesak seperti saya ini.

Adakah niat pakcik melakukan tindakan nekad berjalan kaki sejauh 340km itu hanya untuk pakcik sekeluarga atau juga untuk golongan yang menghadapi masalah yang sama?

Permulaannya memang hanya untuk diri saya dan keluarga kerana pada ketika itu, saya langsung tidak terfikir selain daripada itu.

Akan tetapi, apabila saya mula membuat video TikTok ketika melakukan perjalanan tersebut, rupa-rupanya saya mendapat feedback yang menunjukkan ada ramai lagi individy lain yang menghadapi kesusahan yang sama.

Jadi, ia menjadi pemangkin yang menjadikan saya semakin bertekad untuk melakukan perjalanan tersebut dan alhamdullillah, ramai juga yang menyokong saya.

Malah, tidak terkecuali saya juga mendapat sokongan daripada anak-anak saya sendiri dan mereka cukup bangga dengan apa yang saya lakukan itu.

Oleh sebab itu, niat saya yang asalnya untuk saya dan keluarga saya semata-mata itu terus menjadi niat untuk keseluruhan rakyat di negara ini.

Buktinya, saya sendiri sanggup menolak pelbagai tawaran bantuan duit yang diberikan kerana fokus utama saya bukanlah duit semata-mata tetapi mahukan pengeluaran wang KWSP milik saya itu.

Kenapa hanya pakcik yang bertindak sedemikian (sedangkan orang lain yang turut terdesak tiada pun yang tampil bersuara); dan apakah pesanan yang ingin disampaikan kepada kerajaan mengenai pengeluaran wang KWSP?

Yang ini saya kena terangkan betul-betul supaya tidak berlaku salah faham. Perkara ini muncul daripada naluri hati saya sendiri semata-mata dan bukannya daripada mana-mana gesaan parti politik.

Malah, saya juga tiada perancangan pun untuk dapat masuk ke dalam Istana Negara, apatah lagi dalam parlimen.

Saya sendiri sedar bahawa saya hanya seorang rakyat biasa dan kita semua tahu bahawa Istana Negara mempunyai protokol yang perlu dipatuhi.

Sedangkan orang-orang politik pun bukan mudah untuk masuk ke dalam Istana Negara, apatah lagi saya yang hanya sekadar rakyat biasa ini.

Namun alhamdullillah, saya dapat juga masuk ke Istana Negara walaupun tidak dapat mengadap Tuanku Agong, tetapi sekurang-kurangnya dengan cara sebegini suara saya dapat didengari oleh mana-mana pihak berkaitan.

Pesanan saya kepada kerajaan tidak kira mana-mana parti politik, agar bukalah mata dan lihat keadaan sebenar rakyat secara keseluruhan.

Ini amat diperlukan supaya kerajaan dapat bantu kami sebagai rakyat biasa memandangkan kami tidak pernah mengabaikan kebajikan negara. – HARAKAHDAILY 28/4/2023

- Advertisement -