KUBANG KERIAN: Laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia atau World Health Organization (WHO) 2023 mengesahkan bahawa strok haba telah membunuh lebih 20,000 nyawa sejak fenomena gelombang haba berterusan di Eropah pada pertengahan tahun 2022.
Di Malaysia pula, 200 kes penyakit berkaitan haba telah dilaporkan pada tahun 2016, yang mana 22 kes adalah strok haba, tidak termasuk dua kes kematian kanak-kanak yangmasing-masing berusia setahun tujuh bulan dan 11 tahun akibat strok haba pada Hari Raya Aidilfitri keempat, Selasa, 25 April 2023 di Kelantan.
Itu maklumat terkini yang dikongsi Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr. Nik Rosmawati Nik Husain melalui laman web rasmi Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, di Kubang Kerian Kelantan (https://www.kk.usm.my/index.php/news-media/1804-cuaca-panas-melampau-awas-strok-haba).
Beliau berkata, strok haba merupakan suatu penyakit yang serius akibat pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan tidak mampu menstabilkan suhu badan.
“Keadaan itu dicetuskan apabila suhu badan meningkat dengan cepat melebihi 40°C (darjah celsius) atau lebih; dan kejadian strok haba boleh berlaku secara tiba-tiba atau berperingkat.
“Kadar kejadian strok haba adalah berbeza bergantung kepada faktor geografi, cuaca dan aktiviti penduduk setempat. Risiko strok haba adalah tinggi apabila berada dalam keadaan suhu sekeliling melebihi 39.2°C.
“Oleh itu, tindakan aktif hendaklah diambil bagi mengelak kejadian penyakit berkaitan haba seperti strok haba,” jelasnya.
Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga telah melaporkan bahawa gelombang panas dan kering sedang melanda negara akibat peralihan monsun dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Julai 2023 selain turut melanda negara-negara Asia lain termasuk Thailand, Vietnam, China, India dan Bangladesh.
Beliau menegaskan bahawa individu yang melakukan aktiviti atau bekerja dalam keadaan sekeliling yang panas dikenal pasti berisiko tinggi mendapat strok haba seperti pekerja pembinaan, petani, pengawal keselamatan, polis, tentera, bomba, pengendali jentera berhaba, atlet dan aktiviti-aktiviti luar yang dijalankan di bawah sinaran matahari terik.
“Selain itu, beberapa golongan rentan juga dikenal pasti meningkatkan lagi risiko mendapat strok haba seperti warga emas, kanak-kanak dan individu dengan penyakit kronik.
“Strok haba tidak wajar dipandang ringan kerana ia boleh mendatangkan komplikasi serius. Berdasarkan satu artikel yang ditulis oleh Bouchama et al. (2022), kesan jangka pendek akibat dari pendedahan mengejut kepada cuaca yang panas boleh mengakibatkan sel-sel badan cedera, berlaku keradangan, darah senang membeku dan berlaku pendarahan di beberapa organ penting.
“Mangsa strok haba boleh mengalami kesan jangka panjang seperti masalah saraf, sistem kardiovaskular dan risiko kematian,” jelasnya lagi.
Tambah Nik Rosmawati, orang awam perlu mengetahui tanda-tanda dan gejala strok haba agar tindakan segera dapat diambil.
“Antara tanda-tanda seseorang itu mengalami strok haba ialah denyutan jantung menjadi cepat dan pesakit akan merasa berdebar-debar (denyutan jantung normal: 60-100/minit), pernafasan laju dan pendek (kadar pernafasan normal: 12-20/minit),” ujar beliau.
Simpton lain termasuklah badan terasa panas dan kering, sakit kepala, pening dan kepala rasa berpusing, berasa mual, peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40°C atau lebih (suhu badan normal: 36.5°C hingga 37.5°C), tekanan darah menurun (tekanan darah normal: 120-140/60-80 mmHg) serta tidak sedarkan diri, pengsan atau sawan.
Justeru, beliau menasihatkan agar oang awam agar lebih prihatin akan beberapa langkah pencegahan penting untuk mengelak berlakunya strok haba.
“Jangan melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari terik atau dalam keadaan panas untuk tempoh yang panjang, elak melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan, pastikan diri terhidrat dengan minum air kosong tiga (3) hingga empat (4) liter sehari.
“Selain itu, boleh amalkan pemakanan sihat dan seimbang, memakai pakaian yang longgar dan ringan serta pelindung haba seperti topi atau payung, tidak meninggalkan sesiapa di dalam kenderaan yang parkir di bawah matahari terik serta memastikan pengudaraan yang cukup atau pendingin hawa jika berada dalam rumah atau premis,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berhampiran sekiranya mempunyai tanda-tanda awal penyakit berkaitan haba.
“Sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada METMalaysia dan amaran kesihatan berkaitan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kurangkan atau elak daripada melakukan sebarang aktiviti luar mahupun bersenam ketika cuaca panas terik,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/4/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!