AYER KEROH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menggesa agar seorang Exco Kerajaan Negeri yang dikatakan terpalit dengan isu berdasarkan sebuah video yang tular baru-baru ini tampil membersihkan namanya.
Menurut beliau, tuduhan yang dibuat oleh penyebar asal video tersebut sangat berat, kerana itu Exco terbabit perlu bertindak membersihkan namanya yang telah tercemar melalui saluran undang-undang.
“Saya bersimpati dengan seorang Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka yang terpalit dengan tuduhan rasuah, lebih-lebih lagi video terbabit tersebar ketika umat Islam sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Sebagai sebuah gagasan yang memperjuangkan politik matang, fokus Perikatan Nasional adalah membangunkan negara secara konstruktif dan berperanan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dengan menolak budaya politik menyerang peribadi pemimpin tertentu.
“Namun, disebabkan video berkenaan telah tersebar dan tuduhan yang dilemparkan amat berat, adalah menjadi kewajipan kepada Exco Kanan berkenaan untuk membersihkan namanya,” katanya.
Tambah beliau, Exco terbabit perlu segera membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang termasuk ke atas wanita yang dikaitkan dengannya berdasarkan video terbabit.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban berkata, kes ini juga merupakan cabaran kepada Ketua Menteri Melaka yang baharu, untuk membuktikan kemampuannya mentadbir.
“Tterpulang kepada beliau sama ada mahu kerajaan negeri pimpinannya bersih atau tercemar dengan tuduhan sedemikian.
“Rakyat sedang menilai dan sesebuah kerajaan bukan sahaja mesti bersih tetapi perlu kelihatan bersih. Sebarang kompromi akan memperlihatkan Malaysia Madani hanyalah retorik kosong yang tidak membawa sebarang makna,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu kenyataan kepada wartawan semalam menganggap perkara itu sebagai fitnah walau pun enggan menafikan samada ia benar atau tidak.
“Perkara seperti itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan dalam dunia siber dan serba moden ini, pelbagai bentuk fitnah mudah disebarkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/4/2023