Majlis sambutan Aidilfitri pusat di 6 negeri keterlaluan

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

PERIKATAN NASIONAL (PN) merakamkan rasa terkejut dan ralat atas keputusan Kerajaan Pusat untuk mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri secara bergilir-gilir di enam buah negeri di Semenanjung Malaysia bermula pada 29 April di Kedah dan dijadual berakhir pada 14 Mei di Selangor.

- Advertisement -

Selain itu, majlis turut dijadual berlangsung di Pulau Pinang (6 Mei); Negeri Sembilan (7 Mei); Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei).

Jika dilihat dari sudut mana pun, keputusan Putrajaya ini jelas berlebih-lebihan dan keterlaluan, malah kelihatan terlalu gelojoh dan sangat menjolok mata, selain tidak wajar dipertahankan.

Enam majlis sambutan Hari Raya di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tentulah akan mencetuskan persoalan mengenai motif dan tujuan ia diadakan.

Langkah sebegini sekiranya dikatakan untuk meraikan hari kebesaran agama serta muhibah umat iaitu Hari Raya Aidilfitri, ternyata jauh tersasar dan jelas akan tercemar.

Ini kerana ia tidak lagi boleh dipisahkan daripada motif politik dan persaingan pengaruh menjelang PRN yang bakal berlaku beberapa bulan sahaja lagi.

Retorik basi dan sumbang kononnya PAS dan sekarang ini PN adalah parti yang “menunggang agama” untuk tujuan politik nampaknya kini berbalik kepada pihak Kerajaan Pusat sendiri yang “menculik” majlis penting tahunan Islam itu bagi mencapai matlamat kuasanya.

Majlis sambutan bersiri ini juga melanggar konvensyen dan adab hubungan antara Kerajaan Pusat dan negeri-negeri dari segi wibawa dan bidang kuasa masing-masing.

Adalah lebih manis dan sopan sekiranya Putrajaya mengekalkan amalan pembahagian tradisi dengan majlis masing-masing pihak kekal sebagai acara sambutan terbesar dan utama di peringkat masing- masing sebagai tanda hormat terhadap wibawa dan bidang kuasa itu.

Tindakan melangkahi sempadan hormat dan adab antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dalam konteks ini jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri dan tentulah tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua belah pihak.

Keadaan ini juga tentulah tidak bermanfaat kepada rakyat dan negara serta usaha dan cita-cita untuk mewujudkan sebuah persekutuan yang kuat dan saling mengukuhkan.

PN juga percaya majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlebih-lebihan seperti ini sangat berlawanan dengan penyataan dasar dan komitmen Putrajaya untuk berjimat cermat bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya yang didakwa terbeban dengan hutang, salah pengurusan dan pembaziran kerajaan terdahulu.

Ini sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri di Parlimen bahawa hutang dan liabiliti kerajaan kini ialah sebanyak RM1.5 trilion atau kira-kira 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut beliau lagi, antara langkah utama yang akan diambil oleh Kerajaan pimpinannya ialah dengan menambah baik tata kelola kerajaan kerana kononnya sejumlah besar dana kerajaan hilang susulan kelemahan pengurusan dan ketirisan yang menyebabkan hutang menjadi lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi.

Kata-kata hanya akan membawa makna dan kesan sekiranya ia disusuli dengan langkah dan tindakan yang sama dan senada, bukan sebaliknya.

PN juga merakamkan kebimbangan berhubung kemungkinan berlakunya penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan dalam penganjuran majlis-majlis sambutan ini kerana motif politiknya sudah tidak boleh disorok lagi.

Justeru itu Kerajaan Pusat perlu memberi jaminan ia tidak berlaku, selain memastikan semua janji dan slogan tentang salah guna kuasa, penyalahgunaan jentera dan kelemahan pengurusan yang diwarwarkannya sebelum ini tidak hanya tinggal slogan dan janji di bibir semata-mata.

Dalam pada itu, PN juga terus menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan tidak profesional dan melanggar kontrak oleh stesen televisyen TV3 yang membatalkan slot takbir Hari Raya oleh Perikatan Nasional (PN) yang dijadual disiarkan oleh stesen berkenaan pada jam 10.20 malam, 21 April lepas.

Meskipun dalam e-mel yang dihantar kira-kira lima minit sebelum takbir berkenaan dijadual disiarkan, pihak TV3 memberitahu bahawa langkah itu terpaksa diambil kerana “masalah teknikal” sekali gus berjanji akan memulangkan bayaran yang telah dibuat oleh PN sebelum itu, namun sebagai sebuah televisyen ternama dan veteran dalam dunia penyiaran negara, PN beranggapan insiden itu tidak harus berlaku sama sekali.

Malah alasan “masalah teknikal” sebagai punca pembatalannya juga amatlah janggal dan tidak boleh diterima.

Justeru PN mendesak pihak pengurusan TV3 dan juga Kerajaan Pusat, terutamanya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), supaya bersikap jujur dalam isu ini, sekali gus menafikan berlakunya campur tangan politik untuk mensabotaj siaran takbir berkenaan atas apa-apa tujuan sekali pun.

Integriti TV3 dan KKD sangat bergantung kepada kesediaannya untuk bersikap telus dan profesional, terutama dalam menghormati kontrak dan janji yang dibuat secara sah dan formal.

TAKIYUDDIN HASSAN
Timbalan Setiausaha Agung PN (Ketua Whip PN)
26 April 2023 – HARAKAHDAILY 26/4/2023

- Advertisement -