TANAH MERAH: Biarpun berdepan pelbagai kesukaran, namun ia tidak menghalang anak-anak perantau pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kelantan cukup meriah tahun ini terutama dengan kehadiran anak rantau yang pulang berhari raya.
“Anak-anak Kelantan dijangka tidak lagi menghadapi kesukaran pada masa akan datang apabila beberapa jalan baharu yang sedang dinaik taraf siap nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri DUN Bukit Panau, di sini semalam.
Menurut beliau antaranya LPT3 yang kini pada peringkat kerja-kerja awalan sudah bermula termasuk aktiviti ukur dan reka bentuk jalan.
Beliau turut mengingatkan anak perantau menggunakan laluan alternatif khususnya di Gua Musang bagi mengelakkan kesesakan.
“Orang ramai juga hendaklah sentiasa berwaspada dengan keadaan musim panas sekarang kerana mudah terdedah dengan pelbagai perkara tidak diingini.
“Jaga anak-anak kecil, kesihatan dan jangan terdedah di bawah panas kerana dibimbangi terkena stroke haba, demam dan lain-lain.
“Umat Islam juga disaran sentiasa berdoa, solat hajat dan solat istisqa untuk memohon hujan agar bumi kita tidak dalam kepanasan berterusan.
“Mungkin ada di antara kita telah lakukannya sebab beberapa hari lepas hujan telah turun di Kelantan di beberapa tempat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/4/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!