Rakyat Kelantan disaran solat hajat minta hujan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan disaran memperbanyakkan istighfar dan berdoa kepada Allah SWT serta menunaikan solat hajat supaya hujan turun pada kadarnya demi kesejahteraan bumi dan seluruh penduduk.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, ia boleh dilakukan di rumah masing-masing, manakala imam disaran melaksanakan solat hajat di masjid atau surau di seluruh negeri.

- Advertisement -

Ini kerana negara kini berhadapan dengan cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga Ogos 2023 berikutan peralihan monsun. 

“Berikutan keadaan tersebut menyebabkan kemarau yang berpanjangan dan boleh memusnahkan tanaman,”  katanya dalam satu kenyataan pada hari ini. 

Menurut kenyataan itu, ia adalah selaras dengan hadis diriwayat daripada Jabir Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami secara merata, menyegarkan, menyuburkan tanaman, bermanfaat tanpa mudarat serta kami mohon agar diturunkan hujan dengan segera tanpa ditangguh-tangguh.” [Riwayat Abu Daud]

“Semoga dengan usaha dan ikhtiar tersebut Allah SWT menurunkan Rahmat-Nya kepada kita semua dengan menganugerahkan hujan secara merata. lagi menyegarkan bumi,” kata Ahmad. – HARAKAHDAILY 25/4/2023